Talita minat menyanyi, simpan angan-angan bertanding dalam rancangan America’s Got Talent!
Persembahan 'busking' Dzahira Talita Zahra, 11, yang berlangsung di Bukit Bintang, Kuala Lumpur Jumaat lalu, terus menjadi bualan ramai biarpun sudah beberapa hari ia berlalu.
Ini kerana anak perempuan tunggal kepada Shuib dan Allahyarham Siti Sarah itu telah menyanyikan lagu Kesetiaan dipopularkan ibunya dengan penuh perasaan sehingga mengundang sebak ramai.
Gadis manis yang lebih dikenali Talita dikatakan cukup meminati bidang nyanyian dan bakatnya kian terserlah apabila sering menyanyikan lagu-lagu ibunya dengan suara yang merdu di media sosial.
Anak kedua daripada empat beradik yang terdiri daripada Uwais Al-Qarni, 13; Talita; Ariq Matin, 8, dan Ayash Affan, 3 merupakan murid di Brainy Bunch iaitu sebuah sekolah swasta yang terkenal dengan pendekatan Montessori unik dan berkesan.
Ia dibuktikan menerusi perkongsian video Shuib bersama Talita di Instagram baru-baru ini di mana kelibat Talita memakai pakaian seragam Brainy Bunch yang baru sahaja pulang dari sekolah.
Dalam video itu, Talita menangis dan terus memeluk bapanya apabila diberitahu bakal membuat persembahan di Bukit Bintang.
"Kenapa you nangis. Kenapa.”
"Thank you (sambil menangis).”
"You suka ke ni?
"Suka...sangat.”
"Okey dengar-dengar. Esok you akan menyanyi basking dekat Bukit Bintang dengan Era (radio Era). Dengan Uncle Nabil, Pak Azad dan Raden. You tahu tak, dekat Bukit Bintang tu ada ramai orang dan you akan nyanyi dekat situ. You ada show, you first show..."
Sementara itu, isteri Shuib iaitu Watie pernah memaklumkan yang Talita mahu ke kelas vokal kerana ingin serius dalam bidang nyanyian.
Malah kata Watie, anaknya pernah menyimpan angan-angan untuk bertanding dalam rancangan America’s Got Talent suatu hari nanti.
Untuk Talita, semoga berjaya dalam setiap langkah yang diambil baik dalam bidang pendidikan mahupun nyanyian.
Teruslah berusaha dan berkarya dengan penuh dedikasi.
Jadilah kebanggaan keluarga sekali gus mengharumkan nama mereka dengan bakat dan kejayaan dalam akademik.
Semoga masa depan Talita penuh dengan kebahagiaan dan kejayaan.