
Tersenarai Sekolah Terbaik Dunia 2025 menerusi aplikasi Helpie...'Doakan SK Putrajaya Presint 11 (1) bawa pulang kejayaan'
Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11 (1) mencipta detik bersejarah apabila berjaya menempatkan diri dalam senarai 10 Finalis Utama Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat.
Pengiktirafan bertaraf antarabangsa itu adalah hasil kejayaan sekolah dalam mengetengahkan pendekatan inovatif terhadap isu kesihatan mental dalam kalangan murid, menerusi penghasilan aplikasi mudah alih dinamakan Helpie.
Menariknya, Helpie merupakan inisiatif yang dibangunkan sepenuhnya oleh murid-murid sebagai satu platform digital untuk memberikan sokongan emosi dan psikososial kepada rakan sebaya mereka.
Inisiatif ini bukan sahaja memperlihatkan kebijaksanaan anak muda dalam memahami keperluan komuniti sekeliling, malah membuktikan keupayaan mereka memanfaatkan teknologi secara bijak untuk membawa perubahan positif dalam komuniti sekolah.
Tidak seperti pendekatan tradisional, Helpie menggabungkan elemen mesra pengguna, interaktif dan menyeronokkan untuk menarik minat golongan muda agar lebih terbuka dalam membincangkan isu-isu kesihatan mental.
Ia turut membantu membina persekitaran sekolah yang lebih inklusif, selamat dan menyokong kesejahteraan emosi murid secara menyeluruh.
Susulan kejayaan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kerana tersenarai dalam Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025.

Menerusi hantaran di platform X, Anwar menyifatkan kejayaan sekolah tersebut sebagai satu inspirasi kepada masyarakat.
"Tahniah buat warga pendidik dan anak-anak SK Putrajaya Presint 11 (1) atas pengiktirafan ini. Usaha dan dedikasi kalian menjadi inspirasi kepada semua," katanya.
Sementara itu, Pengasas T4 Education dan Anugerah Sekolah Terbaik Dunia, Vikas Pota berkata, pencapaian SK Putrajaya Presint 11(1) membuktikan bahawa pendidikan berkualiti yang berteraskan nilai kemanusiaan mampu membentuk masa depan yang lebih baik.
"Ketika dunia berubah pantas akibat kemajuan teknologi dan cabaran global seperti perubahan iklim, kemiskinan serta konflik, sekolah seperti ini memberi harapan baharu. Komitmen mereka dalam memperkasakan pelajar amat menginspirasikan," katanya dalam kenyataan.
Sebagai makluman, Anugerah Sekolah Terbaik Dunia merupakan antara anugerah pendidikan paling berprestij di peringkat antarabangsa.
Ia merangkumi lima kategori utama iaitu Menyokong Kehidupan Sihat, Kolaborasi Komuniti, Tindakan Alam Sekitar, Inovasi dan Mengatasi Cabaran.
Pemenang bagi setiap kategori akan dipilih oleh Akademi Juri Pakar berdasarkan kriteria yang ketat.
Manakala kesemua 50 finalis dari seluruh dunia turut akan bertanding dalam Undian Awam untuk merebut Anugerah Pilihan Komuniti.
Pengumuman rasmi pemenang dijadualkan berlangsung pada Oktober depan.
Finalis dan pemenang akan dijemput menghadiri Persidangan Sekolah Dunia yang akan diadakan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada 15 dan 16 November nanti.