YES! Night At The Library: Gabungan ilmu dan keseronokan
Murid-murid teroka malam penuh inspirasi di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam
Siapa sangka program bermalam di perpustakaan mampu memberi pengalaman luar biasa kepada peserta sehingga mereka ingin menyertai lagi.
Itulah yang dikongsi seramai 47 murid yang mengikuti YES! Night At The Library di Pustaka Raja Tun Uda, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Shah Alam pada 20 hingga 21 Disember lalu. Rata-ratanya meluahkan rasa teruja dan bersemangat untuk menyertai program tersebut.
Antara reaksi mereka, ‘YES! Night At The Library memberi peluang berinteraksi dan bekerjasama dengan rakan-rakan baru. Malah, aktiviti disediakan mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan meningkatkan semangat berpasukan.’
YES! Night At The Library yang dianjurkan Sinar Bestari, Sinar Harian dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dengan kerjasama Pustaka Raja Tun Uda, menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang dapat meningkatkan minat murid terhadap pembelajaran, sekali gus mencipta pengalaman berharga kepada mereka.
Antara aktiviti disediakan ialah Ice-Breaking, Misi Detektif Mencari Buku, persembahan kumpulan, tazkirah Subuh dan senamrobik.
Turut diketengahkan Sesi Khas: Perjalanan Kejayaan disampaikan Edufluencer Cikgu Mohd Haiqal Abdullah Chik dari Sekolah Kebangsaan Abdul Samat, Klang, Selangor dan Sesi Rakan Strategik: Discover Your Talents oleh wakil TalentCorp serta pembentangan kumpulan.
Pengetua Akademi Pendidikan Sinar Bestari (APSB) merangkap Editor Eksekutif Lifestyle Sinar Harian, Meen Tahrin meluahkan rasa gembira dan menzahirkan kesyukuran kerana YES! Night At The Library berjalan lancar mengikut perancangan yang telah disusun dengan teliti.
“Sesuai dengan objektif utama program ini iaitu memperkenalkan konsep fun learning di luar bilik darjah, saya yakin kesemua peserta sudah merasai banyak pengalaman pembelajaran menyeronokkan dan unik.
“Oleh itu, sebagai program pertama di bawah APSB, kami percaya ini adalah langkah awal ke arah pelbagai inisiatif pendidikan kreatif yang lebih banyak.
“Perancangan untuk masa hadapan telah disediakan dan insya-ALLAH, dengan sokongan serta kerjasama semua pihak, kami akan cuba melaksanakannya lagi,” kata beliau.
Menurut Meen, penganjur menerima pelbagai maklum balas positif dalam kalangan ibu bapa berkenaan YES! Night At The Library.
Majoriti mengharapkan program tersebut diadakan lebih kerap dan bersedia mendaftarkan anak masing-masing untuk menyertai.
“Saya ucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang telah memberi kebenaran kepada anak-anak mengikuti program bermalam di perpustakaan.
“Sokongan dan kepercayaan yang diberikan amat dihargai kerana tanpa kerjasama daripada pihak anda, kejayaan program ini tidak akan tercapai.
“Terima kasih kerana memberi peluang mereka mengembangkan pengetahuan, kemahiran sosial dan kreativiti melalui pengalaman luar biasa ini.
“Semoga masing-masing mendapat manfaat berterusan,” ujarnya yang mengalu-alukan badan korporat dan swasta bergabung tenaga bersama APSB untuk menjayakan usaha murni itu demi masa depan generasi muda.
Asah kemahiran peserta
Sementara itu, Ketua Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam, Mohamed Fadzli Mohd Fauzi turut memuji penganjuran program itu yang dilihat memberi peluang unik untuk murid-murid mengasah pelbagai kemahiran, kreativiti dan berinteraksi dalam suasana berbeza.
“Program sangat bagus ditambah pula pengisian bersesuaian dengan para peserta.
“Pasukan yang mengendalikannya juga hebat kerana dapat menyusun aktiviti dengan sempurna sekali.
“Dari segi kemudahan, kami di PPAS sudah memberikan yang terbaik demi keselesaan peserta.
“Kita menempatkan 47 peserta bersama kru YES! Night At The Library di Level 4 yang luas dan selesa untuk kelancaran aktiviti.
“Beberapa khemah dijadikan tempat tidur untuk murid-murid dan saya yakin, pengalaman sebegini menjadi kenangan terindah buat mereka,” ujarnya.
Mohamed Fadzli berkata, kejayaan YES! Night At The Library telah membuatkan Pengarah PPAS, Datin Paduka Mastura Muhamad berbesar hati untuk bekerjasama lagi dengan Sinar Bestari bagi melaksanakan program seumpama ini pada masa akan datang.
“Kita mempunyai 105 perpustakaan PPAS di sembilan daerah di Selangor.
“Mungkin YES! Night At The Library akan diperluaskan ke daerah-daerah ini dengan pengisian lagi mantap dan sesuai untuk peserta serta harga berpatutan, itu paling penting untuk PPAS,” jelasnya.