Zoo mini di sekolah, rai hari lahir murid pendidikan khas

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
01 Dec 2025 01:53pm

Suasana Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Semenyih 2 bertukar seakan-akan sebuah zoo mini apabila murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) diraikan dalam Program Sambutan Hari Lahir dan Jamuan Akhir Tahun bertemakan Petting Zoo.

Program tahunan ini mencuri tumpuan warga sekolah dengan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman pelajar berkeperluan khas bersama haiwan.

Ia melibatkan seramai 84 murid PPKI SK Jalan Semenyih 2 sebagai simbol penghargaan terhadap perkembangan, usaha dan komitmen mereka sepanjang tahun persekolahan ini.

Bukan sekadar meraikan tarikh kelahiran, program berkenaan turut menjadi penutup tirai aktiviti sesi 2025 bagi Unit Pendidikan Khas.

Perkongsian daripada guru, tema Petting Zoo dipilih bagi membuka ruang kepada murid untuk berinteraksi secara langsung dengan haiwan jinak dalam suasana yang selamat dan terkawal. 

Pendekatan itu bukan sahaja menimbulkan rasa seronok, malah merangsang deria, membina keberanian serta menyemai sifat empati dalam kalangan murid pendidikan khas yang mempunyai keperluan perkembangan berbeza.

Terdapat murid yang tidak berpeluang melihat haiwan secara dekat atas kekangan tertentu, selain ada yang memerlukan pengawasan rapi terutama apabila berhadapan haiwan eksotik. 

Program itu membawa masuk pelbagai haiwan termasuk ular sawa, arnab, ayam serama, burung kakak tua, iguana dan lain-lain lagi sekali gus menjadikan suasana lebih hidup dan berwarna-warni.

Artikel Berkaitan:

Antara pengisian menarik yang disediakan ialah sesi sentuhan haiwan melibatkan arnab, kura-kura, kucing jinak, ayam hiasan dan haiwan kecil lain. 

Murid juga dibawa meneroka mini zoo untuk mengenali jenis haiwan, makanan dan habitatnya selain disertai permainan interaktif bertema haiwan bagi merangsang kemahiran motor halus dan kasar, selaras keperluan murid PPKI.

Program ini turut dibantu pihak luar melalui sumbangan makanan, peralatan dan hiasan bagi melancarkan perjalanan majlis.

Detik paling dinanti hadir apabila murid menikmati jamuan akhir tahun, disusuli pemotongan kek hari lahir dan penyampaian penghargaan sebagai motivasi menjelang sesi persekolahan baharu. 

Wajah ceria murid menjadi bukti kejayaan program bertemakan zoo itu.

Secara keseluruhan, program ini bukan sahaja mencipta kenangan manis, malah menyediakan pengalaman pembelajaran alternatif serta mengeratkan hubungan antara murid, guru dan ibu bapa.

Ringkasan AI

  • Suasana SK Jalan Semenyih 2 bertukar seakan-akan zoo mini dengan tema Petting Zoo untuk murid program Pendidikan Khas Integrasi
  • Program ini memberi peluang kepada murid berkeperluan khas untuk berinteraksi dengan haiwan dalam suasana yang selamat dan terkawal
  • Seramai 84 murid PPKI terlibat sebagai penghargaan atas perkembangan dan usaha mereka sepanjang tahun
  • Pelbagai jenis haiwan seperti ular sawa, arnab, dan ayam serama dihadirkan untuk memberi pengalaman berinteraksi secara langsung
  • Acara ini mengandungi sesi sentuhan haiwan, meneroka mini zoo dan permainan interaktif yang merangsang kemahiran motor halus dan kasar murid
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp