58 pelajar MRSM selamat dalam kebakaran - Dr Asyraf
Kesemua 58 pelajar lelaki yang terlibat dalam kebakaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Putra, Terengganu disahkan selamat meskipun empat bilik asrama itu musnah lewat malam tadi.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di laman Facebooknya.
“Alhamdulillah, kesemua 58 pelajar lelaki selamat walaupun empat bilik asrama lelaki MRSM Kota Putra Besut musnah akibat kebakaran lewat malam tadi.
“Menunggu laporan penuh pihak bomba,” tulisnya.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelemat Besut, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli mengatakan, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada pukul 10.44 malam, sebelum 20 anggota serta pegawai bersama dua jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut dan BBP Jerteh digerakkan ke lokasi kejadian.
“Difahamkan pelajar dan pihak asrama telah cuba memadam kebakaran itu, namun api semakin marak.
“Alhamdulillah tiada sebarang kecederaan dilaporkan apabila pelajar terlibat berjaya keluar daripada bangunan tersebut,” katanya.
Menurut Muhammad Azrul Izzham, pihaknya mengambil masa kira-kira 1 jam 40 minit untuk mengawal dan memadamkan sepenuhnya kebakaran tersebut.
Tambahnya lagi, bomba terpaksa memecahkan siling bangunan itu untuk memastikan kebakaran tersebut telah dipadam sepenuhnya terutama di bahagian bumbung bangunan.
“Bagaimanapun punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.