Mohamad Syakirul Faqeh (gambar kecil) dipercayai meninggal dunia kerana lemas selepas kenderaan terbabas dan terbalik ke dalam parit.
Mohamad Syakirul Faqeh (gambar kecil) dipercayai meninggal dunia kerana lemas selepas kenderaan terbabas dan terbalik ke dalam parit.

'Allahyarham rajin berselawat, tinggi adabnya & pelajar cemerlang. Pemergiannya benar-benar mengejutkan kami' - Pengetua SMKAMi

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
31 Jan 2025 05:02pm

"Allahuakbar, memang tak sangka Allahyarham pergi secepat ini. Kami masih lagi terkejut dan tidak percaya," maklum Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Miri (SMKAMi), Sarawak, Ahmad Fauzi Yaakob kepada Sinar Bestari.

Ia susulan kematian salah seorang pelajarnya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 130 Jalan Sibu-Bintulu, Selangau, Sarawak pada Khamis.

Menurut Ahmad Fauzi, Allahyarham Mohamad Syakirul Faqeh Mohamad Zamari, 16, merupakan pelajar yang disayangi oleh semua guru.

"Dia pelajar yang amat baik, tinggi adabnya, bersopan santun dan amat mesra dengan warga sekolah.

"Arwah juga antara yang rajin berselawat dan sentiasa mengingatkan rakan-rakannya untuk berselawat, cemerlang akademik dan aktif dalam kegiatan kokurikulum," ujarnya.

No Image Caption

Kata Ahmad Fauzi, Mohamad Syakirul Faqeh tinggal di asrama sekolah dan tidak pernah menimbulkan sebarang masalah.

"Semua rakan-rakannya sebak dan terkejut dengan pemergian arwah.

"Demi sahabat tercinta, mereka bersama-sama mengadakan majlis bacaan yasin dan tahlil malam tadi buat Mohamad Syakirul Faqeh.

Rakan-rakan seperjuangan mengadakan majlis bacaan yasin dan tahlil malam tadi buat Mohamad Syakirul Faqeh.
Rakan-rakan seperjuangan mengadakan majlis bacaan yasin dan tahlil malam tadi buat Mohamad Syakirul Faqeh.

"Semoga ALLAH menempatkan arwah dalam kalangan hamba-hambaNya yang soleh," tuturnya.

Terdahulu, Allahyarham Mohamad Syakirul Faqeh maut apabila kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang dinaiki bersama tiga ahli keluarganya terlibat kemalangan dengan kenderaan utiliti sukan (SUV), Toyota Avanza..

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, Mohamad Syakirul Faqeh dipercayai meninggal dunia kerana lemas selepas kenderaan terbabas dan terbalik ke dalam parit.

Beliau berkata, bapa mangsa, Mohamad Zamari Marassan, 48, yang bekerja sebagai pemandu Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak di Jalan Bakam, Miri mengalami kecederaan pada bahagian dada, manakala ibu Siti Armah Abd Hamid, 41, dan adik lelaki Mohamad Syahir Fayyadh, 6, tidak mengalami kecederaan.

Anggota ATM turut membantu mengeluarkan salah seorang mangsa tersepit. - Gambar JBPM
Anggota ATM turut membantu mengeluarkan salah seorang mangsa tersepit. - Gambar JBPM

"Kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 10 pagi melibatkan dua buah kenderaan iaitu pacuan empat roda Toyota Hilux dinaiki mangsa sekeluarga, yang bergerak dari arah Bintulu dan Toyota Avanza yang diletakkan di bahu jalan.

"Siasatan mendapati kenderaan mangsa menuju ke Sibu hilang kawalan dan terbabas, lalu melanggar kenderaan yang diletakkan di bahu jalan sebelum terjunam dan terbalik ke dalam parit," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Mengulas mengenai kemalangan itu, Muhamad Rizal berkata, kejadian berlaku di jalan lurus manakala cuaca hujan dan permukaan jalan basah.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. - Gambar JBPM
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. - Gambar JBPM

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Mukah manakala tiga lagi mangsa turut dibawa ke hospital sama untuk tindakan lanjut.

"Tentang kes, ia disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," akhiri beliau.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp