Muhammad Tufail bersama bapanya, Gulam Mohamed.
Muhammad Tufail bersama bapanya, Gulam Mohamed.

Disleksia bukan halangan raih keputusan cemerlang SPM 2022

AZLEENDA SAHALUDIN
03 Jul 2023 09:18am
A
A
A

“Mengingati Tom Cruise, pelakon Hollywood terkenal yang menghidap disleksia sedikit sebanyak membantu saya bangkit dan bersemangat untuk berdepan dengan cabaran dalam hidup.”

Itu antara semangat yang dipegang seorang murid cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang menghidap disleksia, Muhammad Tufail Insyirah Gulam Mohamed.

Muhammad Tufail.
Muhammad Tufail.



Lebih mengejutkan, Muhammad Tufail antara pelajar cemerlang SPM 2022 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Samad, Klang, Selangor, dengan keputusan 4A , 2A, 1A- dan 2B .

Bapanya, Gulam Mohamed Munshi Deen turut tidak menyangka anaknya yang dahulu berdepan kesukaran dalam pembelajaran seperti tidak tahu menulis dan membaca walaupun sudah berusia enam tahun tetapi kini berjaya membuktikan dia mampu meraih keputusan membanggakan keluarga.

Ketika ditemui Sinar Bestari, Muhammad Tufail tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya tatkala berkongsi keputusan peperiksaannya itu.

Anak kedua daripada empat beradik ini memaklumkan, dia juga tidak menyangka mampu cemerlang dalam peperiksaan besar berkenaan apatah lagi dia pelajar aliran Sains Tulen.

Katanya, dengan kaedah ulang kaji yang diamalkan sedikit sebanyak membantu dirinya kekal fokus dalam pembelajaran sama ada di sekolah atau di rumah.

Artikel Berkaitan:

“Paling penting kaedah yang saya amalkan tidak membebankan diri dan jika rasa tertekan saya tidur.

“Jika orang normal lain memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam sehari untuk tidur, saya pula akan lebihkan sejam,” ujarnya.

Selain itu, Muhammad Tufail turut memberitahu, dia lebih banyak menghasilkan nota pembelajaran sendiri seperti membuat peta minda dan nota berwarna.

Bercerita lanjut tentang masalah pembelajaran yang dihadapi, bapanya, Gulam Mohamed memberitahu, anaknya diagnosis ketika berumur antara lima hingga enam tahun di mana kanak-kanak seusianya sudah boleh membaca dan menulis.

Muhammad Tufail bersama bapanya, Gulam Mohamed.
Muhammad Tufail bersama bapanya, Gulam Mohamed.

Melihat kepada keadaannya itu, Gulam Mohamed terus membuat keputusan merujuk anaknya kepada pakar kanak-kanak selain turut menghantar ke sekolah swasta yang khusus untuk murid disleksia.

“Selepas diagnosis Muhammad Tufail menghidap disleksia, pada awalnya saya dan isteri agak terkejut dan berdepan dengan fasa penafian.

“Kami merasakan anak kami normal sama seperti kanak-kanak seusia dengannya namun apakan daya, sekiranya kami berterusan menafikan keadaan ini, pembelajaran Muhammad Tufail tidak akan berkembang,” ujarnya.

Tambah Gulam yang juga seorang doktor perubatan, tindakan mengesan masalah pembelajaran anaknya dengan lebih cepat sedikit sebanyak membantu Muhammad Tufail mengadaptasi proses pembelajaran walaupun lambat setahun berbanding pelajar lain.

Mengulas lanjut tentang cabaran yang terpaksa ditempuh sepanjang bergelar pelajar sekolah menengah, Muhammad Tufail berkata, dia individu yang tidak pandai bersosial dan bergaul.

Ujarnya, agak sukar untuk membuat kawan baru dan perlu mengambil masa sekurangnya enam bulan bagi menyesuaikan diri di sekolah harian biasa.

Begitupun, itu bukan alasan untuknya tidak terlibat secara aktif dalam kokurikulum dan buktinya dia antara peserta pertandingan catur dan pernah mewakili sekolah pada 2018 dan 2019.

“Mereka yang senasib dengan saya pasti akan menempuh dugaan yang lebih mencabar daripada apa yang saya lalui.

“Walaupun dikategorikan sebagai pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran, namun ingatlah setiap usaha pasti ada hasil lumayan yang menanti,” tuturnya.

Keputusan SPM Muhammad Tufail

Bahasa Melayu A-

Bahasa Inggeris A

Matematik A

Matematik Tambahan B

Sejarah A

Pendidikan Islam A

Fizik A

Kimia B

Biologi A

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok