Moonlit Hope: Dari Felda Sungai Koyan ke UM
‘Moonlit Hope’ sebuah persembahan drama bahasa Inggeris yang ditulis dan dipersembahkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Sungai Koyan, Kuala Lipis, Pahang.
Pementasan drama itu membabitkan seramai 13 pelajar Tingkatan Dua hingga Lima yang dibimbing oleh guru Bahasa Inggeris, Zainul Hakim Shazni Zainul Fuad.
Moonlit Hope mengisahkan Iris, seorang pelajar universiti yang menghidapi komplikasi otak akibat kemalangan kereta semasa masih kecil.
Untuk mengubatinya, Iris dipakaikan Brain Intervention Dimension Machine (BIDM) di kepalanya. Mesin itu membawa Iris ke sebuah dimensi lain di mana beliau bertemu dengan seorang jejaka bernama Arjuna.
Akan tetapi, tempoh mereka bersama sangat singkat dan apabila Iris sedar, mendapati dirinya dan Arjuna menjalani takdir yang sangat serupa.
Drama ini adalah hasil cetusan idea para para sendiri - diinspirasikan daripada filem ‘Imaginur’. Ia asalnya dihasilkan untuk dipertandingkan di Pertandingan Drama Bahasa Inggeris (MBMMBI) Peringkat Negeri Pahang pada Ogos 2023.
Pada peringkat pertama pertandingan, mereka memuat naik rakaman persembahan di YouTube yang kemudiannya disenarai pendek dalam ‘Top 5’ untuk bertanding secara bersemuka di Auditorium JKKN Pahang di Kuantan pada 24 Ogos 2023. Di peringkat akhir pertandingan, mereka mendapat tempat kelima.
Mereka juga telah berpeluang membuat pementasan di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya pada 23 Disember lalu yang ditonton oleh pensyarah dan mahasiswa, ibu bapa pelajar SMK Felda Sungai Koyan dan orang awam.
Proses penghasilan drama
Penghasilan drama ini adalah suatu proses yang panjang dan produktif yang mana para pelajar berdiskusi tentang jalan cerita, watak dan latar belakang setiap watak.
Setelah draf pertama skrip selesai, ia direviu beberapa kali dalam tempoh seminggu bersama Zainul Hakim untuk menjadikan jalan cerita lebih koheren dan mantap.
Setelah itu, mereka memulakan latihan persembahan pada setiap petang.
Mereka mula menyediakan props untuk digunakan dalam persembahan. Props utama ialah mesin BIDM yang dihasilkan dengan menggunakan kadbod.
Pada 12 Ogos lalu, Moonlit Hope telah disenarai pendek dalam ‘Top 5’ untuk berentap dalam pusingan akhir secara bersemuka di Kuantan.
Sebagai satu-satunya sekolah Felda memasuki senarai ‘Top 5’, ia bukan sesuatu yang mudah.
Selain itu, mereka juga menghadapi cabaran dari segi kekangan kewangan untuk ke Kuantan.
Namun, atas sumbangan dan jasa baik pihak sekolah dan beberapa individu, mereka dapat ke Kuantan untuk bertanding dan mengharumkan nama sekolah dan daerah Lipis.
Bertanding dengan sekolah lain khasnya sekolah bandar memberikan peluang keemasan dan membuka mata para peserta.
Penulis skrip, Nur Zulaikha Mohd Azhar, 16, mengakui pertandingan yang dihadiri mengajarnya untuk mengurus produksi sekali gus menambah baik gerak kerja kumpulan.
Sementara Nur Yumni Musfirah Mohamad Ramizam, 16, yang memegang wata Iris berkata, melalui drama ini, dia dapat membina kembali keyakinan diri.
"Saya sebenarnya mempunyai perasaan takut untuk berada di atas pentas," akuinya.