Tanya guru, jangan biar diri tidak faham - Pelajar cemerlang STPM Sabah
Seorang pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Sabah, Mohd Aidil Sulong, 20, berkata, pelajar tidak sepatutnya membiarkan diri mereka berada dalam situasi tidak memahami apa yang diajar guru jika mahu mendapatkan keputusan cemerlang.
Beliau berkata, segarang manapun seseorang guru, pelajar perlu memberanikan diri untuk bertanya dan tidak berdiam diri.
"Saya akan beri tumpuan sepenuhnya ketika berada di dalam kelas selain bertanya kepada guru mata pelajaran berkenaan.
"Saya memberanikan diri untuk bertanya cikgu dan saya punya prinsip iaitu tidak akan membenarkan diri tidak memahami (pelajaran) dalam kelas," katanya dalam majlis pengumuman keputusan STPM pada Selasa.
Bercita-cita menjadi guru Geografi, Mohd Aidil merupakan antara 130 pelajar Sabah yang berjaya mencatatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan itu.
Menurut pelajar Pusat Tingkatan Enam Maktab Sabah, kesabaran guru mengajarnya untuk memahami pelajaran telah menarik minat menjadi pendidik.
Sementara itu, Hanifizwan Kamaruddin, 20, yang turut meraih PNGK 4.00 berkata, fokus semasa dalam kelas merupakan kunci kejayaannya mendapat keputusan cemerlang.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung, Tawau itu berkata, dia juga meluangkan masa mengulang kaji antara 8 malam hingga 12 tengah malam.
"Dari dulu saya mahu menjadi guru dan berharap dapat masuk Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) atau Universiti Malaya (UM)," kata Hanifizwan sambil menambah ibu hanya bekerja sebagai jurujual sekali gus mendorongnya mencapai tahap kehidupan lebih baik.
Rakan sekolah, Khairi Syed Alie, 20, pula berkata, dia menerapkan cara belajar konsisten iaitu hanya mengambil masa 30 hingga 45 minit sehari untuk mengulang kaji tetapi dilakukan secara berterusan.
Bercita-cita menjadi ahli ekonomi, Khairi yang juga anak bongsu tujuh beradik berkata, tinggal di asrama membolehkannya belajar secara berkumpulan sekali gus memberikan semangat untuk belajar sehingga lewat malam dan akhirnya berjaya memperoleh PNGK 4.00. - Bernama