Medan asah jati diri mahasiswa
Pendidikan tetap keutamaan, Palapes pasak kecemerlangan pelatih
Penubuhan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) yang disertai mahasiswa universiti awam sejajar hasrat kerajaan untuk membentuk warganegara mantap fizikal, mental sekali gus cemerlang dalam akademik.
Palapes yang dahulunya dikenali sebagai Reserve Officer Training Unit (ROTU) antara usaha kerjasama Kementerian Pertahanan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), melatih mahasiswa melibatkan diri dalam barisan pertahanan negara.
Dari aspek teori ketenteraan, sistem pertahanan negara tidak boleh bergantung kepada barisan pertama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semata-mata kerana barisan kedua melibatkan sukarela juga penting.
Menurut Ketua Jurulatih Palapes Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Leftenan Kolonel Zulkahar Ahmad@Ali, silibus latihan yang disediakan sama seperti yang dilalui oleh Pegawai Kadet Graduan Akademi Tentera Darat (ATD).
Namun perkara yang membezakan Palapes dengan Pegawai Kadet Graduan adalah mereka perlu ditekankan pembahagian masa antara latihan dan akademik, memandangkan tanggungjawab utama menuntut ilmu sepanjang tiga atau empat tahun pengajian di universiti.
“Saya sendiri tekankan kepada mereka bahawa universiti bukan tempat bagi fasa ‘bulan madu’. Masa amat penting untuk diisi dengan perkara yang penting.
“Pelajaran sepatutnya diutamakan bermula sejak awal menjejakkan kaki ke universiti. Begitu juga latihan ketenteraan dalam Palapes kerana kedua-duanya bergerak seiring.
“Jangan jadikan latihan ketenteraan sebagai alasan untuk tidak cemerlang akademik, sebaliknya buktikan melalui latihan, ini kejayaan boleh dicapai dengan gemilang,” katanya kepada Sinar Bestari baru-baru ini.
Zulkahar berkata, mahasiswa yang berminat menyertai Palapes adalah secara sukarela.
Tegasnya, para mahasiswa ini sepatutnya sudah bersedia mental dan fizikal akan cabaran sepanjang tiga tahun latihan.
Bahkan, mereka yang menyertai Palapes ini bukan sahaja berpeluang menceburi bidang pekerjaan menerusi kursus pengajian yang diambil, malah berpeluang menjadi anggota tetap tentera sekiranya betul-betul berminat.
“Selepas tamat latihan dan ditauliahkan sebagai leftenan muda, mereka yang berminat mempunyai peluang yang lebih cerah sebagai Pegawai Kadet Graduan ATD. Ia kerana telah dibekalkan ilmu ketenteraan sepanjang latihan di Palapes.
“Mereka juga boleh terus melapor di kem-kem siri 500 di seluruh Malaysia sama ada untuk Rejimen Askar Wataniah atau mana-mana rejimen pakar,” ujarnya lagi.
Lasak bukan mencederakan
Ditanya mengenai sesi latihan Palapes yang dianggap kasar dan menyeksa, Zulkahar menjelaskan tiada latihan dalam Palapes dilakukan sehingga boleh mencederakan atau memudaratkan kadet-kadet terlibat.
Kongsi beliau lagi, walaupun segala latihan adalah asas ketenteraan, namun ia sekadar bersifat lasak bagi membentuk ketahanan diri dan memantapkan mental serta fizikal pelatih bagi berdepan segala cabaran.
“Saya juga memandang serius akan perkara ini, seperti mana yang kita lihat di media-media sosial (kes pelatih cedera) sehingga memberi tanggapan negatif kepada Palapes.
“Sepatutnya perkara sedemikian tidak berlaku, namun ditegaskan sesi latihan Palapes tidak sebegitu. Kita cuma mahu berikan latihan ketahanan, bukan mencederakan,” jelasnya.
Bercerita lanjut mengenai latihan paling mencabar, kongsi Zulkahar, ia adalah ketika Latihan Kem Tahunan di tahun ketiga pengajian. Ia berikutan mereka (pelatih) yang terlibat dengan Latihan Kem Tahunan itu akan menjalani empat fasa peperangan membabitkan simulasi realistik bagi memberi gambaran situasi sebenar.
“Kita buat simulasi realistik yang mungkin agar mereka boleh rasai tekanan ditambah pula musuh mengikut senario.
“Hasilnya latihan ini mampu mendidik mereka menjadi insan yang boleh berdepan cabaran alam pekerjaan bukan sahaja di bidang ketenteraan tetapi kerjaya lain pada masa akan datang,” katanya.
Keistimewaan sebagai anggota Palapes
- Berpeluang merasai aktiviti lasak dan mencabar.
- Belajar dan mengendalikan pelbagai jenis senjata dalam silibus Pegawai Kadet Palapes.
- Melawat institusi Latihan Ketenteraan seperti Pusat Latihan dan Tempur Tentera Darat (Pulada), Pusat Latihan Risik (Pularis), Pusat Latihan Armor (Pulamor), Pusat Latihan Artileri (Pusarti), Institusi Komunikasi Tentera Darat (Iked), Pengkalan Tentera Laut, Pengkalan tentera Udara dan sebagainya.
- Berpeluang menyertai Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Palapes yang diadakan setiap tahun secara bergilir-gilir di IPTA seluruh Malaysia.
- Pengurniaan Watikah Tauliah sebagai Leftenan Muda ke dalam Rejimen Askar Wataniah oleh Yang di-Pertuan Agong.
- Konsep latihan selama tiga tahun pengajian ijazah sarjana muda mahasiswa di IPTA.
- Kategori tahun:
Tahun pertama - Peringkat Junior
Tahun kedua - Peringkat Pertengahan
Tahun ketiga - Senior
- Mirip latihan angkatan tetap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagaimana dilaksanakan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Akademi Tentera Darat (ATD).
- Jenis latihan yang dilaksanakan Palapes:
Latihan Tempatan - 240 jam setahun
Latihan Berterusan - 14 hari setahun
Latihan Kem Tahunan - 15 hari setahun