Minat, cekal jadi keutamaan Palapes
Empat mahasiswa kongsi cerita sepanjang berada dalam latihan
Umum mengetahui Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) yang ditubuhkan di universiti awam bertujuan membentuk mahasiswa berdisiplin tinggi dan semangat juang mempertahankan negara.
Ia juga melahirkan pegawai simpanan bagi memenuhi keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Meskipun terdapat beberapa lagi pilihan badan beruniform lain boleh disertai di universiti, namun Palapes menjadi pilihan kerana beberapa faktor yang menarik minat mahasiswa tanpa mengira perbezaan jantina.
Ikuti kisah empat mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menjadikan Palapes pilihan utama menjana pengalaman dalam dunia ketenteraan.
Rajin membaca peristiwa sejarah tentang negara dan perjuangan para pejuang tanah air antara titik tolak Pegawai Rendah Muda Ammar Faizuddin Abi Talib memilih menyertai Palapes.
Akuinya, sifat ingin tahu ketika menuntut di Tingkatan Enam itu menimbulkan minat walaupun bukan daripada keluarga tentera.
Lebih mencabar adalah keputusan itu mendapat tentangan daripada ibu bapa yang beranggapan latihan ketenteraan bersifat keras.
“Memang sukar hendak memujuk ibu bapa bagi membenarkan saya menyertai Palapes.
“Alhamdulillah, sekarang mereka memberi sokongan padu,” katanya.
Pelajar jurusan Ekonomi itu berkata, perubahan diri daripada seorang yang introvert kepada ekstrovert dapat dilihat setelah mengikuti latihan sepanjang tiga tahun.
Kongsinya, ketika di sekolah rendah dia amat malu untuk berbicara dan sering menjadi pelajar yang duduk di barisan belakang.
“Palapes telah mengajar saya untuk berubah sedikit demi sedikit dan peratus keyakinan diri semakin bertambah,” ujar Ammar.
Berkongsi keputusan peperiksaan dengan memperoleh 3.70, Ammar antara pelajar yang membuktikan menyertai Palapes juga cemerlang dalam akademik.
Meskipun keluarganya tiada latar belakang ketenteraan, ia tidak mematahkan semangat Kadet Sarjan Maciana Alynna Tamin untuk menyertai Palapes ketika pengajian ijazah sarjana muda di UKM.
Pelajar jurusan Geografi itu berkata, Palapes menjadi pilihan kerana meminati aktiviti lasak sejak Tingkatan Satu, seterusnya disuntik rasa teruja selepas melihat Minggu Apresiasi Watan.
Akuinya, Palapes tidak hanya membentuk jati diri seseorang mahasiswa tetapi menawarkan pelbagai kelebihan lain dan pengalaman hidup sebagai persediaan berdepan cabaran hidup.
“Selain ilmu terutama melibatkan bidang ketenteraan, Palapes turut menyediakan penginapan buat mahasiswa yang menyertainya.
“Pelajar seperti saya yang jauh terbang ke Semenanjung, tidak perlu mencari bilik sewa kerana disediakan penginapan sepanjang pengajian.
“Dengan jaminan 12 jam kredit dalam ketenteraan, banyak membantu pegawai kadet Palapes mencapai keputusan cemerlang dalam akademik pengajian masing-masing,” katanya.
Selain aktif dengan latihan Palapes, gadis cantik kelahiran Tawau, Sabah ini bergiat dalam aktiviti persatuan lain di UKM antaranya sebagai Penolong Yang Dipertua (YDP) Kelab Kebudayaan serta vokalis utama kelab tersebut.
Tegas Maciana, menyertai Palapes bukan alasan untuk tidak aktif dalam apa jua perkara di universiti lebih-lebih lagi melibatkan akademik.
Maciana menitip pesan buat mereka yang memasang niat menyertai Palapes agar mempunyai minat terlebih dahulu.
Selain mendapat penginapan sehingga tamat semester, elaun juga menjadikan Palapes pilihan utama para mahasiswa.
Elaun yang diterima itu sedikit sebanyak meringankan beban kewangan untuk kegunaan bayaran pengajian mereka.
Bagi Pegawai Rendah Kanan Muhammad Zahran Arif Mohd Amran, keputusan imenyertai Palapes sekali tidak merugikan, malah dia berpeluang menikmati pengalaman menarik sepanjang menjalani latihan.
Dia dan skuadnya juga pernah berjaya melaksanakan misi Fasa Serang Hendap (Serdap) bagi Latihan Peperangan Menentang Insurgensi yang dilaksanakan di Hutan Penyelidikan Alam, UKM, Bangi.
“Walaupun penat mental serta fizikal, Alhamdulillah kami berjaya melaksanakan misi itu,” katanya.
Anak kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, pembahagian masa adalah aspek yang perlu diutamakan apatah lagi sebagai seorang pelajar dan anak.
Pelajar jurusan Sains Biologi itu juga memberitahu, bagi mereka yang berminat untuk menyertai Palapes perlu mempunyai kekuatan mental.
Muhammad Zahran adalah Pegawai Kadet Terbaik Palapes UKM Siri 42 dan bakal ditauliahkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada September ini.
Bagi yang meminati aktiviti menembak, Palapes adalah program yang tepat.
Menurut Kadet Rejimen Sarjan Mejar Muhammad Faris Mohd Salihin, menyertai Palapes merupakan peluang keemasan kerana menembak salah satu aktiviti yang ada dalam latihan.
“Orang awam tidak dapat merasa pengalaman menembak ini dan jika mahu, mereka perlu membayar.
“Di sini, saya bukan sahaja dapat belajar cara menembak dengan betul tetapi merasai sendiri pengalaman memegang senjata yang tidak semua orang dapat.
“Disebabkan itu, saya rebut peluang untuk sertai Palapes ketika di tahun satu pengajian,” katanya.
Pelajar jurusan Usahawan dan Inovasi itu berkata, minat ke arah bidang ketenteraan disuntik oleh semangat datuknya yang pernah berperang dengan komunis.
Cerita dan pengalaman datuknya itu antara penyumbang menyertai Palapes.
Ditanya mengenai perubahan diri selepas mengikuti latihan Palapes, anak kelahiran Tangkak, Johor itu memberitahu, disiplin diri semakin bertambah terutama melibatkan masa.
“Dahulu, saya amat sukar menepati masa tetapi selepas menyertai Palapes, memang sangat berdisiplin bab ini,” katanya tersenyum.