



'Bakat dalam diam'
Remaja 15 tahun ini temui suara melalui dunia produksi
Di sebalik wajah tenang dan suara yang tidak kedengaran, tersembunyi sebuah dunia penuh warna dalam diri seorang pelajar bernama, Cheng Hao Song.
Remaja berusia 15 tahun ini, bukan jenis yang mudah bergaul atau tampil ke hadapan, malah lebih selesa memerhati dari jauh sambil bergelut dengan rasa kurang yakin diri.
Namun siapa sangka, di sebalik sifat pendiam itu wujud satu minat yang cukup berani iaitu terhadap dunia produksi media.
Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kembangan ini, setiap rakaman bukan sekadar visual. Ia adalah bahasanya sendiri, ruang untuk menyusun keberanian sedikit demi sedikit dari balik lensa kamera.
“Saya mula dengan fotografi dan videografi sebenarnya. Kawan ajak sertai Kelab TV Pusat Sumber Sekolah (PSS) semasa Tingkatan Satu.
“Kalau ikutkan, minat utama saya adalah teknologi maklumat tetapi entah bagaimana, saya suka tonton video tentang kamera di YouTube. Saya juga ada saluran YouTube sendiri untuk kongsi tentang kehidupan seharian atau permainan video,” katanya.
Lebih menarik, Hao Song memiliki kelengkapan seperti kamera, mikrofon dan set rakaman di biliknya yang mana semua itu hasil sokongan penuh bapa.
“Saya minta izin untuk cipta kandungan YouTube. Ingatkan bapa marah tetapi rupa-rupanya dia orang pertama yang sokong dan sediakan semua kelengkapan itu,” katanya lagi.
‘Ayam dan itik’ yang menang
Baru-baru ini, Hao Song menyertai Bengkel TV PSS Sinar Bestari 2025 anjuran Sinar Bestari dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana melibatkan hampir 100 pelajar.
Dalam tugasan video berkumpulan, Hao Song dilantik sebagai ketua. Cabarannya? Dia digandingkan dengan murid sekolah rendah berbangsa Melayu yang kurang menguasai bahasa Inggeris. Keadaan itu menjadi ‘tembok kecil’ yang perlu diatasi.
“Tugasan itu sebenarnya tak susah jika kita bekerjasama. Saya yakin adik-adik sekolah rendah juga ada idea dan pandai beri arahan.
“Sebagai ketua, saya cuba fahami apa mereka cuba sampaikan dan bercakap dalam bahasa yang mereka boleh faham,” katanya sambil tersenyum.
Kongsi anak muda itu, pada awalnya atmosfera perbincangan jadi cukup janggal seakan-akan ayam dan itik. Namun semua berubah apabila kamera mula beroperasi.
"Apabila masing-masing pegang kamera dan mula merakam, terus jadi mudah. Mungkin kerana kami ada minat yang sama,” kata Hao Song.
Akhirnya, kekok dan kekeliruan itu bertukar menjadi kejayaan apabila kumpulan mereka dinobatkan sebagai pemenang video terbaik dalam bengkel tersebut.
Ringkasan AI
- Cheng Hao Song adalah pelajar berusia 15 tahun yang meminati dunia produksi media
- Lebih selesa dengan fotografi dan videografi, mula bergiat aktif dalam Kelab TV sekolah
- Memiliki kelengkapan produksi seperti kamera dan mikrofon yang disokong oleh bapanya
- Menjadi ketua kumpulan dalam Bengkel TV, bekerjasama dengan murid sekolah rendah
- Kumpulannya dinobatkan sebagai pemenang video terbaik dalam bengkel tersebut
