
'Tuhan sahaja yang tahu...' - Fadhlina ikrar ambil tanggungjawab penuh
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berikrar mengambil tanggungjawab penuh dan akan memperkukuh langkah keselamatan di sekolah berikutan beberapa insiden jenayah membabitkan pelajar sekolah yang berlaku baru-baru ini.
Menzahirkan rasa dukacita yang mendalam berhubung kejadian terbabit, Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan (KPM) komited melaksanakan reformasi keselamatan dan kesejahteraan di semua institusi pendidikan bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.
"Tuhan sahaja yang tahu. Ya, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Duka menerima satu lagi berita kematian anak murid yang dikasihi. Hati saya luluh melihat para guru dalam keadaan lara dan gundah menangisi tragedi ini.
"Bertabahlah para guru sekalian! Ujian ini akan kita lalui bersama. Ketika jiwa kita runtuh berderai, kita harus kutip segera kepingan yang ada untuk dicantumkan menjadi sakti kembali.
"Saya dan timbalan saya (Wong Kah Woh) mengambil tanggungjawab ini sepenuhnya. We will do better.
"Memastikan tambah baik kepada aspek keselamatan di semua institusi bawah KPM. Reformasi keselamatan dan kesejahteraan sekolah selamat ini kita lakukan bersama-sama!," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Fadhlina berkata, langkah penambahbaikan akan dilaksanakan segera bagi memastikan keselamatan murid, guru serta seluruh warga sekolah berada pada tahap terbaik agar terus selamat dan sejahtera di sekolah.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa serta komuniti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atas sokongan berterusan kepada pihak sekolah dalam tempoh mencabar itu.
"Buat ibu bapa yang sentiasa menitipkan semangat dan sokongan, terima kasih yang tidak terhingga. Bantulah kami dengan apa cara sekalipun, demi anak-anak kita. Sokongan dan perhatian ibu bapa ketika ini amat penting untuk kami bina semula kekuatan dan roh sekolah ini," katanya.

Antara insiden jenayah yang berlaku di sekolah baru-baru ini ialah seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut ditikam di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor pada 14 Oktober lepas dan suspek dalam kes itu, iaitu pelajar lelaki berumur 14 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Selain itu, pada 7 Oktober seorang murid perempuan berusia sembilan tahun di sebuah sekolah di Rembau, Negeri Sembilan menjadi mangsa cabul oleh pengawal keselamatan wanita dan teman lelakinya, dan pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka dirogol pelajar senior pada 2 Oktober. - Astro Awani
Ringkasan AI
- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berikrar mengambil tanggungjawab penuh untuk memperkukuh langkah keselamatan di sekolah
- Fadhlina menyatakan kesediaan KPM melaksanakan reformasi keselamatan dan kesejahteraan di semua institusi pendidikan
- Beliau mengungkapkan rasa duka yang mendalam terhadap insiden jenayah yang membabitkan pelajar sekolah baru-baru ini
- Langkah penambahbaikan keselamatan di institusi bawah Kementerian Pendidikan akan dilaksanakan segera
- Fadhlina memberikan penghargaan kepada ibu bapa dan PIBG atas sokongan mereka dalam tempoh mencabar