
Belia TVET pacu inovasi negara
Ekspo TVET@KKDW 2025 peluang baharu pelajar kuasai teknologi, kemahiran abad ke-21
Ekspo TVET@KKDW 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) pada 10 hingga 12 Oktober lalu menjadi platform terbaik bagi pelajar dan golongan muda mengenali potensi besar dalam bidang kemahiran serta teknologi masa depan.
Menggabungkan pelbagai pemain industri, institusi pendidikan dan agensi kerajaan, ekspo itu memperkenalkan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI), robotik serta inovasi hijau melalui pameran, pertandingan dan aktiviti interaktif yang menarik minat generasi muda.
Bertemakan 'TVET Masa Depan: Berkemahiran, Berinovasi, Berteknologi Tinggi', program anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu mencerminkan komitmen melahirkan tenaga muda tempatan yang kompeten, kreatif serta berdaya saing di peringkat global.




REAKSI
1) "Ekspo ini sangat sesuai bukan sahaja untuk pelajar, malah kepada orang ramai melihat sendiri bidang kemahiran yang ditawarkan melalui TVET. Ramai sebenarnya masih belum tahu potensi besar dalam bidang ini. Ada yang pandang rendah terhadap pelajar TVET tetapi di sini, mereka boleh tengok sendiri hasil rekaan dan inovasi pelajar yang sangat membanggakan." - Pelajar Institut Kemahiran Tinggi PERDA Tech, Nur Qistina Balqis Noor Apandi, 18.

2) "Sebagai pelajar pereka fesyen, saya nampak bagaimana teknologi boleh digunakan dalam rekaan pakaian. Apa yang dulu saya tak tahu, sekarang saya boleh praktikkan. Ekspo ini juga beri saya peluang untuk berfikir dari sudut perniagaan bagaimana hendak jadikan rekaan lebih komersial. Contohnya, baju kurung Kedah diolah semula daripada potongan pendek kepada labuh mengikut trend semasa." - Pelajar Akademi Kemahiran Kemas Seri Iskandar, Nurdiana Nabila Ahmad Zahari, 21.

3) "Saya baru semester pertama di (IKM) Institut Kemahiran Malaysia, ia pilihan sendiri sebab lebih minat kemahiran. Melalui ekspo ini, saya baru tahu Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) boleh dinaik taraf hingga ke tahap lebih tinggi ke peringkat PhD. Ini galakan besar untuk lepasan SPM (Sijip Pelajaran Malaysia) supaya memilih bidang kemahiran yang sebenarnya banyak peluang kerja." - Pelajar IKM Lumut, Ahmad Aiman Hazim Ahmad Ridzauddin, 18.

4) "Saya hendak tengok pameran teknologi dan memang tak sangka banyak inovasi menarik dipamerkan. Program macam ini bagus sebab beri pendedahan awal kepada pelajar sekolah tentang dunia kemahiran. Bagi saya, penganjuran ekspo ini berjaya dan patut diteruskan setiap tahun." - Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Pulai, Mohamed Rafik Seeni Jailani, 15.


Ringkasan AI
- Ekspo TVET@KKDW 2025 di Pusat Konvensyen Ipoh membuka peluang baru bagi pelajar mempelajari teknologi dan kemahiran abad ke-21
- Platform ini menggabungkan pemain industri, institusi pendidikan, dan agensi kerajaan untuk memperkenalkan teknologi terkini
- Memperlihatkan komitmen melahirkan tenaga muda yang kompeten, kreatif, dan berdaya saing secara global
- Pelajar dapat melihat potensi besar dalam bidang kemahiran serta melihat sendiri hasil rekaan dan inovasi
- Memberi peluang kepada pelajar dan orang ramai untuk memahami dan mengaplikasikan teknologi dalam bidang masing-masing, serta memikirkan dari sudut perniagaan