
Larian awal bentuk potensi diri
Setiap orang yang pernah bersekolah mungkin pernah melalui pengalaman merentas desa di sekolah setiap tahun.
Persoalannya, mengapa sering dilaksanakan di awal waktu persekolahan? Ia antara aktiviti fizikal yang paling inklusif, holistik dan relevan untuk dilaksanakan dalam konteks pendidikan masa kini.
Tanpa memerlukan kemudahan khusus atau peralatan mahal, aktiviti ini boleh dianjurkan di pelbagai jenis sekolah sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar.
Kongsi Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohamad Nizam Nazarudin, 55, dari sudut fisiologi, merentas desa berteraskan pergerakan semula jadi manusia iaitu berlari. Katanya lagi, ia berperanan penting dalam pembangunan fungsi motor kasar dan kecergasan asas murid.

“Lebih daripada itu, merentas desa memberi ruang kepada murid menguji keupayaan diri secara progresif bukan semata-mata terikat kepada konsep menang atau kalah.
“Elemen cabaran kendiri yang wujud sepanjang laluan larian selari falsafah pendidikan yang menekankan pembangunan murid secara seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.
“Jadi, aktiviti ini bukan sekadar acara sukan tahunan, tetapi wahana pendidikan nilai, disiplin dan daya tahan,” katanya kepada Sinar Bestari.
Mohamad Nizam berkata, pendedahan awal kepada aktiviti ini turut membawa implikasi jangka panjang terhadap perkembangan fizikal pelajar.
“Pada usia kanak-kanak dan remaja, tubuh berada dalam fasa adaptasi tinggi, menjadikan latihan daya tahan kardiovaskular seperti ini penting dalam membina asas kesihatan, kecergasan serta tabiat hidup aktif yang berterusan hingga dewasa,” ujarnya.
Trek saksi bakat murid dikesan
Di sepanjang laluan merentas desa yang mencabar itu, guru-guru sekolah dan jurulatih berpeluang menilai keupayaan murid dari segi daya tahan, konsistensi larian serta kekuatan mental tanpa pengaruh latihan khusus.
Kata Mohamad Nizam, keupayaan mengekalkan rentak, kebolehan pulih daripada keletihan dan sikap tidak mudah berputus asa menjadi petunjuk awal potensi sukan yang boleh digilap.

Menurutnya, apabila potensi tersebut dikenal pasti lebih awal, ia membuka ruang kepada bimbingan dan latihan yang lebih terancang serta berasaskan pendekatan saintifik.
“Jadi, merentas desa ini bukanlah sekadar perlumbaan, sebaliknya platform awal untuk mencungkil bakat murid secara semula jadi.
“Murid yang mampu menamatkan larian dengan konsisten dan berdisiplin walaupun berdepan tekanan fizikal menunjukkan asas daya tahan kukuh.
“Pemerhatian awal ini penting sebagai langkah pertama dalam proses pencarian bakat di peringkat sekolah,” ujarnya.
Aktif bentuk identiti
Bukan sekadar aktiviti fizikal, sebaliknya berperanan membentuk skrip tingkah laku aktif dalam minda murid sejak di bangku sekolah.
Murid mula membina sikap intrinsik terhadap gaya hidup aktif apabila pergerakan dikaitkan dengan pengalaman positif, pencapaian kendiri dan sokongan daripada rakan-rakan atau guru.
Mohamad Nizam berkata, pengalaman ini secara tidak langsung menyumbang kepada pembentukan identiti diri sebagai individu yang cergas dan berkeyakinan.
“Dari sudut psikologi sukan, aktiviti berkumpulan seperti merentas desa turut membantu mengurangkan tekanan dan kebimbangan melalui elemen kebersamaan.
“Rangsangan endorfin semasa aktiviti daya tahan pula menyokong kesejahteraan emosi sekali gus membina daya tahan mental dan kawalan emosi murid,” katanya.
Ringkasan AI
- Setiap orang yang bersekolah mungkin pernah merentas desa, aktiviti yang inklusif dan relevan dalam pendidikan
- Tanpa memerlukan kemudahan khusus, boleh dianjurkan di semua sekolah
- Merentas desa berteraskan pergerakan semulajadi manusia, penting untuk pembangunan motor kasar dan kecergasan
- Memberi ruang kepada murid untuk menguji keupayaan diri secara progresif
- Membantu dalam pembentukan identiti diri sebagai individu cergas dan berkeyakinan
