
Sahsiah murid terbina
Seawal tirai sesi persekolahan dibuka, program merentas desa antara aktiviti pertama yang menghimpunkan seluruh warga sekolah dalam satu semangat kebersamaan.
Pelaksanaan acara ini bukan sekadar mengisi kalendar kokurikulum, sebaliknya bertujuan menyemai budaya juang dan memupuk semangat setia kawan dalam kalangan murid sejak hari pertama melangkah ke sekolah.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Sintok, Mohd Nizam Saidin berkata, di laluan larian yang mencabar, murid mula mengenal erti usaha, disiplin dan ketabahan. Katanya, ia menjadi titik mula pembentukan karakter sepanjang tahun persekolahan ini.

“Lebih sekadar itu, merentas desa melengkapkan proses pendidikan melalui pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar apabila murid belajar mengurus emosi, mengekalkan fokus serta membina ketahanan mental dalam situasi yang mencabar.
“Ia juga membentuk disiplin, daya tahan dan keberanian murid sejak awal persekolahan.
“Inilah asas penting pembinaan sahsiah yang tidak dapat dibentuk sepenuhnya di dalam bilik darjah,” katanya kepada Sinar Bestari.
Bakat murid mula dicungkil
Tidak semua potensi murid terserlah sewaktu di bilik darjah. Ada yang lebih cemerlang di padang sekolah khususnya ketika program merentas desa berlangsung.
Jelas Mohd Nizam, dalam suasana santai tanpa tekanan akademik, murid yang sebelum ini kurang menonjol mula menunjukkan kemampuan sebenar, sama ada dari segi ketahanan fizikal mahupun kekuatan mental.

“Sebenarnya merentas desa ini membuka ruang kepada bakat terpendam untuk dikesan sekali gus membuktikan bahawa kecemerlangan hadir dalam pelbagai bentuk.
“Boleh katakan program inilah medan selamat buat murid pemalu mencabar diri tanpa rasa diperhatikan atau dibandingkan.
“Setiap langkah yang berjaya dihabiskan menjadi kemenangan peribadi, seterusnya menyemai keyakinan baharu yang mampu mengubah cara mereka melihat diri sendiri,” ujarnya.
Bangkit semangat
Selepas tempoh cuti persekolahan yang panjang, tidak dinafikan ramai murid kembali ke sekolah dalam keadaan kurang aktif.
Manakan tidak, mungkin ada segelintir murid yang gemar menghabiskan masa di rumah dengan permainan video atau gajet tanpa melakukan aktiviti fizikal.
Guru Penolong Kanan Kokurikulum SK Pasoh 3, Rosmaya Abdullah berkata, situasi ini secara tidak langsung memberi kesan kepada kecergasan tubuh dan tahap fokus murid-murid untuk memulakan sesi pembelajaran baharu.

“Jadi, pelaksanaan merentas desa ini dilihat sebagai antara inisiatif terbaik untuk mencergaskan semula minda dan fizikal murid.
“Melalui aktiviti larian santai secara berkumpulan, mereka berpeluang menggerakkan badan, berpeluh dan melepaskan rasa lesu selepas lama berehat,” katanya.
Secara tidak langsung, suasana ceria bersama rakanrakan pula menyuntik semangat baharu sekali gus menghidupkan kembali motivasi untuk hadir ke sekolah.
Tambah Rosmaya, merentas desa juga membantu meningkatkan aliran darah dan oksigen ke otak, menjadikan murid lebih fokus dan bersedia menerima pembelajaran di dalam kelas.
“Merentas desa juga memupuk disiplin dan semangat kebersamaan yang penting dalam pembentukan sahsiah.
“Betullah, ini bukan sekadar acara sukan tahunan, tetapi langkah awal menyuntik tenaga, semangat dan keterujaan murid untuk memulakan perjalanan pembelajaran sepanjang tahun,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Program merentas desa menghimpunkan seluruh warga sekolah memupuk semangat kebersamaan pada awal sesi persekolahan
- Acara ini bertujuan menyemai budaya juang dan memupuk semangat setia kawan sejak hari pertama
- Melatih murid mengenal erti usaha, disiplin dan ketabahan sekaligus membentuk karakter dan ketahanan mental
- Menyediakan peluang untuk bakat murid terserlah dalam suasana santai tanpa tekanan akademik
- Membantu murid mencergaskan minda dan badan selepas cuti, meningkatkan fokus dan kesediaan untuk pembelajaran baru
