
Lembing terbang, nama dijulang
Semangat, latihan dan bimbingan jurulatih dorong Kai Le jadi juara
Disangka hanya mampu menghadiahkan pingat, namun rejaman sejauh 64.41 meter (m) itu terus menggegarkan rekod kebangsaan.
Itulah detik manis seorang atlet muda Chai Kai Le, 17, dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) sekali gus mengukir nama sebagai juara baharu rejam lembing di pentas Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM),Perlis baru-baru ini.

“Sudah semestinya ia sangat mengejutkan dan sesuatu yang dinantikan oleh semua atlet.
“Sebenarnya, sejak kecil saya mengimpikan menjadi seorang atlet bertaraf antarabangsa yang mampu memecahkan rekod dunia.
“Saya aktif dalam acara ini sejak berumur 13 tahun dan sangat mengidolakan Jan Zelezny. Beliau merupakan pemegang rekod dunia.
“Pemain kebangsaan pula, saya minat Yazid Imran. Kedua-duanya banyak memberikan inspirasi kepada diri ini untuk terus aktif dalam sukan berkenaan,” katanya kepada Sinar Bestari.
Di setiap lontaran yang nampak mudah, pastinya tersembunyi pelbagai cabaran perlu ditempuhi seseorang atlet rejam lembing.

Kai Le mengakui setiap perubahan teknik sering mengundang kecederaan, namun jurulatih utamanya segera melakukan penyesuaian agar kesakitan itu cepat sembuh.
“Penting untuk kita elak kecederaan lebih-lebih lagi apabila kesakitan yang sama.
“Jurulatih faham keadaan saya, sebab itu beliau sentiasa ubah corak latihan. Namun, jika kecederaan tetap berlaku, saya akan berusaha cari jalan agar ia tidak berulang lagi,” katanya.
Jelas anak muda itu, komunikasi antara atlet dan jurulatih sangat penting, khususnya apabila melibatkan kecederaan.
“Atlet tidak perlu takut untuk memaklumkan kecederaan kepada jurulatih. Ada yang bimbang dimarahi, lalu tetap berlatih walaupun cedera, sedangkan keadaan itu akan memburukkan lagi kecederaan dan menjejaskan prestasi pada masa depan," katanya.
Kongsi latihan
Setiap kejayaan atlet di podium tidak pernah datang sendirian, sebaliknya ditopang insan yang sabar membimbing di balik tabir.
Begitulah kisah dalam acara rejam lembing MSSM apabila rekod baharu tercipta menerusi lontaran cemerlang Kai Le.
Jurulatihnya, Siew Hann Wen, 41, mengakui anak didik tunggalnya itu bukan sahaja berbakat besar, malah memiliki peribadi yang baik dan suka membantu orang lain.

“Saya perasan Kai Le ramah dan mudah berkawan dengan semua orang. Malah, jika ada pihak lawan yang cedera, dia antara orang pertama yang membantu,” jelasnya.
Kata Hann Wen, Kai Le juga bijak menjaga diri dengan sentiasa memaklumkan sebarang kecederaan agar tidak bertambah serius.
“Dengan sikap rendah diri yang dimiliki, saya percaya Kai Le berpotensi menjadi seorang atlet yang disegani suatu hari nanti,” ujarnya.