Pendidikan STEM di Malaysia menghadapi cabaran besar dalam usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri masa depan. Gambar hiasan
Pendidikan STEM di Malaysia menghadapi cabaran besar dalam usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri masa depan. Gambar hiasan

Pendidikan STEM di Malaysia: Cabaran dan langkah ke hadapan

IZWAN ROZLINIZWAN ROZLIN
18 Feb 2025 11:37am

Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Malaysia menghadapi cabaran besar dalam usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri masa depan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaporkan penurunan minat pelajar dalam aliran STEM, yang kini berada pada kadar sekitar 40 peratus berbanding sasaran 60 peratus yang ditetapkan kerajaan.

Difahamkan, pelajar kurang berminat terhadap STEM disebabkan oleh persepsi bahawa mata pelajaran ini sukar, kekurangan tenaga pengajar pakar, serta kaedah pengajaran yang kurang menarik.

Namun permintaan terhadap tenaga kerja dalam bidang STEM semakin meningkat.

Laporan Bank Dunia menyatakan bahawa Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 500,000 tenaga kerja dalam sektor teknologi dan kejuruteraan menjelang 2030.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman mengakui bahawa jurang kemahiran dalam kalangan graduan semakin membimbangkan.

Beliau berkata, kebanyakan graduan tidak memenuhi keperluan industri kerana kekurangan kemahiran teknikal dan pengalaman praktikal.

Untuk mengatasi masalah itu, kerajaan telah memperkenalkan beberapa inisiatif untuk mengatasi masalah ini.

Artikel Berkaitan:

Antara langkah yang diambil termasuk memperkukuh kurikulum STEM, meningkatkan latihan guru, serta memperbanyakkan program pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan pelaksanaan program ‘STEM for All’ bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah rendah melalui pendekatan pembelajaran yang lebih interaktif.

Sektor swasta turut memainkan peranan dalam usaha ini melalui pelbagai program latihan industri dan kolaborasi bersama institusi pendidikan bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan STEM.

Apa yang pasti pendidikan STEM di Malaysia berada dalam keadaan kritikal.

Penulis berpandangan jika pembaharuan tidak dilakukan secara menyeluruh, negara bakal berdepan kekurangan tenaga pakar yang boleh menjejaskan daya saing ekonomi.

Semua pihak, termasuk kerajaan, institusi pendidikan, industri dan ibu bapa, perlu bekerjasama dalam memastikan minat terhadap STEM dapat dipupuk sejak awal bagi memastikan Malaysia terus berdaya saing dalam era digital yang semakin mencabar.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp