KUALA LUMPUR – Murid-murid prasekolah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Danau Kota (2) ceria dan teruja apabila watak adiwira komik Avengers, Iron Man, menyambut kehadiran mereka baru-baru ini.
Kejutan yang dibuat oleh pihak sekolah itu bertujuan untuk menaikkan semangat belajar dalam kalangan mereka, setelah lama mengikuti pembelajaran di rumah.
Salah seorang guru prasekolah iaitu Cikgu Mardiana Mokhtar berkata, Iron Man merupakan watak yang disukai ramai termasuklah murid-murid di sekolah itu.
"Kami memilih watak ini kerana ia adalah lambang simbolik kekuatan murid-murid yang telah mengharungi pelbagai cabaran semasa pembelajaran secara maya.
"Justeru, kehadiran superhero ini bolehlah dianggap sebagai ‘hadiah’ untuk anak-anak prasekolah memulakan pembelajaran bersemuka buat kali pertama pada 18 Oktober lalu,” katanya kepada GPSBestari.
Bagi Cikgu Azlina Abdul Aziz yang juga guru prasekolah, Prosedur Operasi Standard (SOP) di sekolah tersebut, telah dilakukan sebaik mungkin mengikut yang telah ditetapkan.
"Alhamdullilah, murid-murid, guru dan warga sekolah telah mematuhi SOP pada setiap masa dan sesi pembelajaran juga dapat diteruskan dengan selamat,” katanya.
Baca juga Cari jurnal kajian terdahulu dengan mudah menggunakan 7 laman sesawang ini
Keseronokan murid-murid untuk hadir ke sekolah merupakan tonggak utama dalam memastikan mereka hadir setiap hari dengan perasaan yang sangat gembira.
"Harapan saya sebagai guru kelas Pra Azalea agar murid-murid diberikan kesihatan yang baik dan dapat meneruskan sesi pembelajaran secara bersemuka dalam norma baharu.
"Dengan kehadiran mereka ini juga, ia dapat membantu murid menguasai dan memahami kemahiran yang sukar kepada yang lebih mudah apabila belajar secara bersemuka,” kata Cikgu Mardiana selaku guru prasekolah yang berpengalaman.
Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/
Sementara itu, beberapa murid berkongsi perasaan gembira apabila berpeluang kembali semula ke sekolah.
Ini kata mereka
1) Saya berasa sangat seronok kerana dapat berjumpa dengan kawan-kawan - Muhammad Fahim Affan (murid Prasekolah Azalea).
2) Ibu dan ayah berpesan supaya mematuhi SOP dan jaga penjarakan - Danish Syazwan El-Rafif (murid Prasekolah Akasia).
3) Seronok sangat bila datang ke sekolah kerana cikgu bagi hadiah yang comel. Terima kasih cikgu - Nur Maisa Safiya (murid Prasekolah Azalea).