KUALA LUMPUR - Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang terkesan dengan bencana banjir boleh mengemukakan permohonan penangguhan bayaran balik pinjaman mulai esok sehingga 31 Mac 2022.
PTPTN dalam kenyataan memaklumkan permohonan boleh dibuat melalui portal rasmi PTPTN (www.ptptn.gov.my/ PenangguhanBayaran BalikBanjir) atau hadir ke mana-mana cawangan PTPTN yang berhampiran.
Tiada sebarang dokumen sokongan diperlukan semasa permohonan penangguhan bayaran balik pinjaman akibat bencana banjir.
BACA JUGA: Banjir: Peminjam terjejas dapat penangguhan bayaran balik PTPTN
BACA JUGA: Dana pendidikan RM1 juta, PTPTN umum pemenang peraduan
"Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN akibat bencana banjir ini akan diberikan untuk tempoh tiga bulan bermula pada bulan yang sama kelulusan permohonan diberikan dan dua bulan ke hadapan dari Disember 2021 hingga Mei 2022 Kelulusan penangguhan akan dimaklumkan kepada peminjam melalui e-mel dalam tempoh tiga hari bekerja dari tarikh peminjam mengemukakan permohonan,” menurut kenyataan itu.
PTPTN turut mengingatkan peminjam agar mengemas kini maklumat perhubungan yang tepat dan terkini bagi memastikan maklumat kelulusan permohonan penangguhan itu dapat disampaikan kepada mereka.
Ikuti GPSBestari di Twitter dan Facebook
Tambah PTPTN, peminjam boleh melayari portal rasmi PTPTN melalui www.ptptn.gov.my di ruangan soalan lazim atau menghubungi PTPTN melalui saluran Careline PTPTN di 03-21933000 (Isnin hingga Jumaat 9 pagi hingga 5 petang), live chat di www.ptptn.gov.my, e-Aduan di https://eaduan.ptptn.gov.my/, eksekutif pemasaran https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn dan media sosial rasmi PTPTN. - BERNAMA