Semasa mencari kerja lebih-lebih lagi kepada pelajar yang baru sahaja menamatkan pengajian, anda mungkin akan terjumpa iklan kerja dan berfikir, jawatan kosong itu amat sesuai namun malangnya anda tidak mempunyai kemahiran, pengalaman atau pendidikan yang diperlukan untuk memohon pekerjaan tersebut.
Anda mungkin tertanya-tanya sama ada bolehkah anda berbohong pada resume untuk meningkatkan peluang mendapatkan pekerjaan itu?
Menipu atau berbohong tentang resume bukanlah idea yang baik. Satu tinjauan yang dilakukan oleh ResumeLab tentang penipuan dalam resume mendapati 93 peratus melakukan perkara tersebut.
Jadi, apa yang berlaku jika anda menipu pada resume? Inilah sebab mengapa anda tidak sepatutnya berbohong pada resume.
1. Anda mungkin ditangkap
Sudah terang lagi bersuluh tentang bahaya menipu, tetapi jika anda menipu tentang resume anda, terdapat kemungkinan untuk ditangkap. Kebanyakan pemohon pekerjaan berbohong tentang skil,pengalaman, serta tarikh dan tanggungjawab pekerjaan yang lepas.
Apa yang anda perlu tahu ialah dengan teknologi yang semakin maju pada hari ini, tidak susah untuk majikan membuat semakan latar belakang tentang pemohon untuk tujuan pengesahan.
Jika mereka mendapati terdapat unsur pembohongan ketika permohonan pekerjaan, berkemungkinan permohonan akan ditolak.
BACA JUGA: Kemahiran dan pemikiran yang harus diterapkan oleh Gen Z untuk membina kerjaya
BACA JUGA: Perhatian, ibu bapa bekerjaya wajib tahu 7 perkara ini!
2. Merosakkan kredibiliti
Jika pegawai yang bertugas bagi merekrut pekerja baharu tahu bahawa anda telah berbohong, anda telah melepaskan peluang cerah untuk mendapat pekerjaan tersebut dan sebarang jawatan yang mungkin dibuka di syarikat itu pada masa hadapan.
Selain itu, industri pengambilan pekerja sudah mengenali satu sama lain, dan anda boleh mendapat reputasi buruk dalam bidang anda kerana menjadi calon yang tidak boleh dipercayai. Sebaliknya, ia akan menyukarkan permohonan (dan mendapatkan) sebarang pekerjaan di hadapan.
3. Pembohongan yang berterusan
Pembohongan tidak semestinya berhenti sebaik sahaja temu duga selesai. Berbohong pada resume anda bermakna anda berkemungkinan besar akan terus berbohong setelah memulakan pekerjaan.
Suka atau tidak, anda terpaksa melakukan pembohongan yang berterusan supaya anda tidak ditangkap dan seterusnya dipecat daripada jawatan yang diperoleh.
4. Hidup dalam ketakutan
Akan ada waktu di mana anda rasa yang penipuan yang dilakukan dapat diketahui pada satu masa nanti.
Ia membuatkan anda tidak senang duduk dan juga menjejaskan prestasi pekerjaan kerana tidak berupaya untuk fokus dan menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap tanggungjawab yang diberikan.
Memandangkan anda mungkin berasa waspada apabila berkomunikasi dengan rakan sekerja, anda tidak akan berasa bebas untuk berbual kerana takut ia mungkin mendedahkan pembohongan.
5. Boleh dipecat sekiranya tertangkap
Menipu dalam permohonan pekerjaan adalah alasa yang sudah memadai untuk anda dibuang pekerjaan.
Disebabkan penipuan yang telah dilakukan, anda tidak akan dapat menggunakan syarikat atau majikan sebagai rujukan pada masa akan datang. Tambahan pula, anda perlu menjelaskan tentang pemecatan anda.
Ikuti GPSBestari di Twitter dan Facebook
Akhir kata, yakin dengan diri anda tanpa melakukan sebarang penipuan apatah lagi dalam alam pekerjaan. Gaji yang diperoleh juga tidak akan diberkati kerana bekerja atas dasar penipuan. Bak kata pepatah melayu, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke atas tanah jua.
Sumber: Flexjobs