SHAH ALAM - Fakulti Pendidikan dengan kerjasama Akademi Pengajian Islam dan Kontemporari (ACIS) telah mengadakan Program Pencarian Ikon Muaddib baru-baru ini.
Seramai 31 pelajar di Fakulti Pendidikan telah terpilih mengikuti program Ikon Muaddib dengan pelajar diberi pelbagai pendedahan seperti dilatih dengan teknik laungan azan, mengendalikan majlis tahlil, tazkirah dan lain-lain.
Sekumpulan Murabbi dari kalangan pensyarah Fakulti Pendidikan dan ACIS telah secara sukarela melibatkan diri secara intensif selama 5 minggu bagi mendidik para Muaddib ini.
Baca juga Perkasa warga OKU di universiti, UiTM jalin kerjasama dengan Perkeso
Baca juga UiTM, Kindness Malaysia beri bantuan 100 kit solat untuk mangsa banjir di Selangor
Pada akhir program, semua Ikon Muaddib telah mempersembahkan keupayaan mereka mengendalikan majlis tahlil dan menyampaikan tazkirah.
Selain daripada menyediakan bakal guru dengan kemahiran mengendalikan majlis keagamaan, program ini juga merupakan suatu mekanisme meningkatkan kebolehpasaran graduan Fakulti Pendidikan, UiTM.
Menurut Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Pendidikan, Dr Zarizi Ab Rahman, pemupukan kemahiran nilai tambah kepada semua bakal guru adalah sesuatu yang relevan dilaksanakan. Kemahiran kepimpinan, kesukarelawanan, komunikasi, hubungan interpersonal, dan lain-lain kemahiran yang sesuai perlu digarap dan diperkemaskan kepada semua bakal guru.
"Ini memberi peluang kepada mereka untuk memberi sumbangan yang berkesan kepada murid, sekolah dan masyarakat, bukan sahaja sebagai penyampai ilmu pengetahuan, malah sebagai agen perubahan dan sosialisasi.
"Menyedari hakikat ini, Fakulti Pendidikan telah mengambil pelbagai inisiatif proaktif dalam usaha memangkinkan pembangunan guru yang dilengkapi pelbagai kemahiran, holistik dan komprehensif,” katanya ketika Majlis Kemuncak Pencarian Ikon Muaddib di UiTM Shah Alam.
Zarizi berharap agar ikhtiar ini dapat menyediakan para pendidik dengan ciri daya tahan (resilient) dan kebolehsuaian (adaptable) yang tinggi bagi mendepani lanskap pendidikan yang sentiasa berubah dan bagi mendepani generasi masyarakat milinea.
Dalam pada itu, beliau juga berkata program ini dilihat sebagai satu program yang memberi impak yang tinggi kerana mampu meningkatkan nilai tambah bakal guru.
Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/
"Kemahiran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini menjadi satu keistimewaan bagi mereka untuk muncul sebagai guru serba boleh bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan kokurikulum malah turut berpeluang menyumbang dengan lebih bermakna kepada murid-murid di sekolah.
"Selain itu, kemahiran ini juga merupakan satu kelebihan yang boleh diaplikasikan oleh mereka kepada masyarakat sekeliling. Situasi sedemikian menjadikan golongan pendidik dipandang mulia oleh masyarakat sekeliling seterusnya mampu mengangkat martabat profesion perguruan ke tahap yang sewajarnya.
"Ikon Muaddib yang dilahirkan ini berupaya mengendalikan program kerohanian apabila mereka ditempatkan di sekolah apabila tamat pengajian, walaupun bukan daripada program pengajian Pendidikan Islam,” jelas beliau.