SINTOK - Dua pelajar Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengangkat nama Malaysia di persada dunia apabila meraih markah tertinggi dalam kertas peperiksaan bagi program Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).
Looi Pui Mun yang merupakan graduan Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat), mencipta sejarah dengan memperoleh markah tertinggi bagi kertas Advanced Financial Management (AFM) Disember 2021.
Selain itu, pelajar tahun akhir Sarjana Muda Perakaunan, Tan Yi Wen mencatat markah tertinggi bagi kertas Advanced Performance Management (APM) Disember 2021.
Pencapaian yang membanggakan itu sekali gus meletakkan Pui Mun di tempat pertama di dunia dan Malaysia, manakala Yi Wen berada di tempat pertama di Malaysia dan ke-14 dunia.
Menurut Pui Mun, situasi pandemik Covid-19 tidak menjadi penghalang buatnya bagi mencapai kejayaan.
Baca juga UUM, IYRES jalin kerjasama, perkasa golongan belia
Baca juga 41 MPP UUM terima watikah pelantikan, nekad jalankan amanah dan tanggungjawab sebaik mungkin
"Saya gembira berjaya memperoleh markah tertinggi itu, malah tidak menjangkakan akan mencapai tahap tersebut untuk kertas terakhir bagi melengkapkan program ACCA,” katanya di sini pada Khamis.
Pui Mun berkata, ketika pandemik belum berakhir, dia menjadikan situasi itu sebagai satu kelebihan untuk fokus belajar selepas menamatkan latihan industri.
"Untuk kertas AFM ini, saya perlu membuat pengiraan tentang penilaian perniagaan, penilaian pelaburan dan pengurusan risiko ke atas pertukaran asing dan kadar faedah.
"Saya juga perlu membuat pertimbangan dan memberi pandangan tentang keputusan perniagaan berdasarkan angka yang ditemui,” katanya yang kini bekerja sebagai perunding di salah sebuah syarikat Big Four.
Pui Mun teruja untuk memulakan perjalanan baharu ini dan berharap pencapaiannya akan menjadi pemangkin kepada pelajar lain untuk terus mencapai cita-cita dan matlamat diri, selain membanggakan universiti dan TISSA-UUM.
Dalam pada itu, Yi Wen, 23, tidak kurang hebatnya apabila mendapat markah tertinggi kertas APM yang hanya diketahuinya menerusi e-mel pada 21 Januari lalu.
"Saya terjejut dan sangat teruja kerana tidak menyangka saya mampu untuk mendapat markah tertinggi di Malaysia. Segala penat lelah dan pengorbanan saya selama amat berbaloi.
Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/
"Namun perjalanan saya masih jauh lagi untuk melengkapkan kertas peperiksaan bagi program ACCA,” katanya.
Menurutnya, tidak mudah untuk kejayaan kerana disiplin amat penting selain mempraktikkan segala ilmu yang dipelajari di UUM.
"Saya akan menyiapkan tugasan terlebih dahulu, kemudian menonton rakaman video kelas tambahan, ulangkaji dan membuat latihan soalan tahun-tahun terdahulu, selain bijak membahagikan masa." katanya.
Mengulas lanjut, Yi Wen berkata, cabaran utama persediaan bagi menyiapkan kertas kerja ialah pengurusan masa memandangkan banyak tugasan kuliah yang perlu diselesaikan pada waktu sama.
"Setelah selesai mengambil peperiksaan itu, saya berpeluang mempelajari perkara baharu termasuk ilmu pengetahuan, teknik dan kemahiran berkaitan pengurusan prestasi strategik dan bagaimana mempraktikkan dalam persekitaran perniagaan,” katanya lagi.