Kanak-kanak kecil menangis terperangkap di bawah runtuhan bangunan sambil diberikan minuman dengan menggunakan penutup botol merupakan antara momen yang menjadi perhatian warga dunia di platform media sosial hari ini.
Dia antara ribuan mangsa gempa bumi yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria lebih seminggu lalu.
Sehingga kini, jumlah kematian di kedua-dua buah negara terbabit telah mencecah lebih 40,000.
Bahkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dijalankan dalam pencarian ribuan mangsa yang masih terperangkap daripada serpihan runtuhan akibat gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter itu.
Bagi memastikan misi SAR berjalan lancar, Turkiye mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa.
Lebih membanggakan, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) tidak terkecuali dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan SAR bersama-sama pasukan keselamatan dari seluruh dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melahirkan rasa bangga beliau dan rakyat Malaysia di atas kecekapan serta tahap profesionalisme pasukan SAR negara yang bertugas membantu mangsa gempa bumi di Nurdagi, Gaziantep.
"Saya bangga sekali dengan pasukan kita yang telah menunjukkan keupayaan serta pengorbanan luar biasa.
"Gabenor dan wakil gabenor di sini (Nurdagi) turut menyatakan pasukan kita menunjukkan dedikasi yang luar biasa.
"Saya bagi pihak seluruh rakyat Malaysia ingin mengucapkan penghargaan dan doa kepada ALLAH SWT, mudah-mudahan beban rakyat di sini diringankan dan kita (Malaysia) akan buat sedaya upaya untuk membantu,” katanya.
Pasukan SAR negara terdiri daripada anggota SMART, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam dan Kor Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia.
Sinar Bestari mengupas fakta-fakta menarik SMART untuk dikongsi bersama pembaca.
Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART)
- Satu pasukan menyelamat elit telah ditubuhkan di bawah arahan Majlis Keselamatan Negara dikenali sebagai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berikutan tragedi runtuhan pangsapuri Highland Tower Ulu Kelang, Selangor pada 11 September 1993.
- SMART ditubuhkan pada tanggal 1 Ogos 1995 terdiri daripada pegawai dan anggota tiga badan uniform utama negara ini iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
-Pada awal penubuhan, kekuatan SMART adalah seramai 85 pegawai dan anggota serta berpangkalan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Jalan Sultan Yahya Petra (Jalan Semarak), Kuala Lumpur.
- Diletakkan di bawah pengurusan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada 1 Oktober 2015.
- Antara kepakaran SMART ialah operasi mencari dan menyelamat runtuhan bangunan; sudut tinggi dan tali (high angle and rope rescue); ruang terbatas (confined space); kawasan air (water rescue) serta pergunungan dan belantara (mountain and wilderness SAR).
- Empat fungsi utama SMART adalah
a) Bertindak untuk melaksanakan tugas mencari dan menyelamat di mana tugas tersebut di luar kemampuan agensi penyelamat sedia ada.
b) Menghadiri operasi mencari dan menyelamat yang memerlukan kepakaran tinggi serta peralatan canggih.
c) Bertanggungjawab dalam kejadian yang dijangka menjadi bencana besar serta melibatkan mangsa ramai.
d) Bertindak membantu dalam kejadian bencana yang berlaku di dalam dan luar negara apabila diperlukan.
Antara operasi luar negara SMART
1. Kebakaran hutan (Indonesia-1997)
Indonesia pernah mengalami kebakaran hutan yang sangat hebat pada 1997 hingga 1998. Kebakaran melanda beberapa wilayah seperti Kalimantan, Sumatera, Sulawesi, Bali, Lombok dan Papua New Guinea.
Berikutan kebakaran terbabit, beberapa negara seperti Malaysia, Brunei, Thailand, Vietnam, Filipina dan Sri Lanka turut terjejas akibat asap tebal.
2.Gempa bumi (Turkiye-1999)
Gempa bumi yang dikenali sebagai Gempa bumi 17 Ogos atau Gempa Golcuk 1999 mengakibatkan kerosakan yang besar. Ia berlaku pada 17 Ogos 1999 berdekatan bandar barat laut Izmit meragut lebih 18,000 nyawa.
3.Gempa bumi (India-2001)
Gempa bumi Bhuj berlaku pada 26 Januari 2001 di Gujarat, India, berdekatan sempadan Pakistan. Ia melanda berhampiran bandar Bhuj dan dirasai di seluruh barat laut India dan sebahagian Pakistan.
4.Tsunami (Indonesia- 2004)
Tanggal 26 Disember 2004, dunia dikejutkan dengan tragedi tsunami yang dianggap antara bencana alam terburuk dalam lipatan sejarah sehingga mengorbankan hampir 283,000 nyawa manakala 14,000 lain gagal ditemui dan 1.12 bilion penduduk hilang tempat berteduh.
Pusat gempa tsunami adalah kira-kira 160 kilometer (km) barat Aceh mengakibatkan ombak setinggi lebih 30 meter. Kekuatan tsunami menyamai 23,000 bom atom yang memusnahkan Hiroshima, Jepun.
5. Gempa bumi (Pakistan-2005)
Satu gempa bumi magnitud 7.6 melanda Kashmir, Pakistan, pada 2005. Dalam bencana paling teruk di Pakistan itu, sekurang-kurangnya 73,000 mangsa terkorban manakala jutaan lagi kehilangan tempat tinggal.
6.Tragedi tanah runtuh (Filipina-2006)
Hujan lebat berterusan selama hampir 10 hari dan gempa bumi kecil telah mengakibatkan tanah runtuh di wilayah Selatan Leyte, Filipina. Kejadian berkenaan mengakibatkan kematian mencecah sehingga 1,126 mangsa.
7.Taufan Haiyan (Filipina-2003)
Taufan Haiyan yang dikenali sebagai Super Typhoon Yolanda di Filipina merupakan salah satu taufan tropika paling kuat pernah direkodkan. Mengikut rekod, taufan berkenaan meragut nyawa sekurang-kurangnya 6,300 orang di negara terbabit.
8.Tragedi MH14 (Ukraine-2014)
Tragedi pesawat MH17 milik Malaysia Airlines (MAS) yang ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 2014 mengakibatkan semua 298 penumpang dan anak kapal pesawat terbunuh.