Murid Tahun 6 jual kereta mainan di TikTok hingga raih jualan RM700, warganet kagum!

Iklan
Muhammad Khairie Danish bijak memanfaatkan waktu cuti sekolah dengan menjual kereta mainan di aplikasi TikTok.

Sejuk perut ibu mengandung! Begitulah gambaran tepat yang dapat Sinar Bestari berikan kepada murid berusia 12 tahun yang bijak mengisi cuti persekolahan dengan menjual kereta mainan Hot Wheels.

Muhammad Khairie Danish Kamal Ariffin iaitu murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Seberang Takir, Kuala Terengganu, Terengganu telah menjual kereta mainan tersebut menerusi aplikasi TikTok bagi mempromosikan barang jualannya.

Iklan
Iklan

Difahamkan, dia mula berniaga awal Februari lalu di aplikasi itu dengan menggunakan modal sendiri sebanyak RM100.

"Harga kereta mainan yang saya jual antara RM10 hingga RM120. Setakat ini lebih 20 buah Hot Wheels berjaya dibeli peminat setia kereta mainan tersebut.

Iklan

"Hasil jualan yang berjaya dikumpul setakat ini adalah sekitar RM700. Insya-ALLAH, duit ini akan saya gunakan untuk ‘pusing modal’ dan membeli barang kelengkapan sekolah,” kata Muhammad Khairie Danish.

Selain kerana minat, usaha yang dilakukan Muhammad Khairie Danish itu diharapkan dapat mengurangkan beban ayah (seorang pemandu teksi) dan ibu yang perlu menanggung adik-adik lain yang masih bersekolah.

Iklan

Mengulas lanjut, anak kedua daripada empat beradik ini berkata, idea untuk menjual kereta mainan timbul selepas mendapati ramai peminat Hot Wheels di Terengganu.

"Saya dapati ramai peminat dan pengumpul tegar kereta mainan Hot Wheels.

"Kebanyakan daripada mereka mencari untuk dijadikan koleksi masing-masing.

"Ada juga yang meminati Hot Wheels kerana bentuknya yang cantik dan hampir serupa dengan reka bentuk kereta asal yang diinspirasi,” ujarnya.