Jual rantai kunci dapat RM15,000, menteri puji idea dan usaha gigih Ketua Pelajar GIS

Iklan
Bryan (dua dari kiri) berjaya mengumpul dana sebanyak RM15,000 hasil jualan rantai kunci baru-baru ini.

Seluruh dunia bersedih dengan kejadian gempa bumi yang berlaku di Turkiye awal Februari lalu.

Masing-masing bagaikan hilang kata-kata dengan bencana alam yang telah memusnahkan harta benda dan meragut banyak nyawa yang tidak berdosa.

Iklan
Iklan

Susulan kejadian itu, pelbagai pihak mula menghulurkan sumbangan bagi meringankan penderitaan dan kesulitan yang ditanggung oleh mangsa Turkiye.

Ada yang menyumbang wang tunai dan barangan keperluan dalam kuantiti yang banyak.

Iklan

Tidak kurang juga, ada yang menghulurkan bantuan dari segi motivasi dan kata-kata semangat kepada mangsa yang terlibat.

Baru-baru ini, seorang pelajar berusia 17 tahun mendapat pujian menteri dan orang ramai kerana berjaya melancarkan sebuah inisiatif bagi mengumpul dana untuk disumbangkan kepada mangsa di Turkiye.

Iklan

Dana sebanyak RM15,000 itu diperoleh menerusi hasil jualan rantai kunci.

Bryan Lim Luo Ting iaitu Ketua Pelajar dari Sekolah Antarabangsa Garden International School (GIS) telah memanfaatkan kemudahan Reka Bentuk dan Teknologi yang ada di sekolahnya bagi menghasilkan rantai kunci cetakan 3D sekali gus dijual bagi tujuan mengumpul dana.

"Saya cukup sedih melihat dan mendengar keadaan mangsa gempa bumi di Turkiye. Tak sangka puluhan ribu penduduk terkorban dan banyak bangunan terjejas teruk akibat bencana alam tersebut.

"Sebagai ketua pelajar, saya terfikir apakah cara yang boleh membantu meringankan beban mereka di Turkiye.

"Idea demi idea dikumpul dan akhirnya inisiatif menjual rantai kunci dilakukan dengan penglibatan warga GIS.

"Terima kasih kepada pihak sekolah di atas kemudahan cetakan 3D yang disediakan. Tidak lupa juga penghargaan kepada guru-guru, ibu bapa dan rakan-rakan yang menyokong usaha ini dengan pembelian,” ujar Bryan.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memuji dan menzahirkan ucapan tahniah kepada Bryan serta warga GIS kerana mengharumkan nama negara melalui penerapan nilai-nilai murni di sekolah.

"Kejayaan bukan hanya diukur dengan gred atau prestasi pelajar di sekolah. Ia adalah tentang pembentukan keperibadian individu dan akhlak yang baik.

"Tugas mendidik anak-anak adalah tanggungjawab semua pihak dan tahniah diucapkan kepada ibu bapa Bryan, guru-guru dan pihak sekolah kerana menyediakan persekitaran yang menerapkan nilai-nilai murni dalam diri Bryan dan semua pelajar di sini,” ujar Hannah.