Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melibatkan pelajar sekolah perlu diberi perhatian serius.
Ini untuk memastikan negara mempunyai lebih ramai modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran selari dengan keperluan negara menjelang tahun 2050.
Bagi memastikan keperluan modal insan ini tercapai, pembudayaan inovasi dan kreativiti pada semua peringkat khususnya sekolah perlu diadakan menerusi pelaksanaan program serta aktiviti berteraskan sains, teknologi dan inovasi.
Melihat kepada usaha ini juga, Sekolah Rendah Agama (SRA) Bersepadu Batu Pahat, Johor, telah mengadakan program Minggu STEM bagi memberi pendedahan kepada pelajar tentang keseronokan mendalami ilmu Sains dan Matematik.
Malah Sinar Bestari turut tertarik melihat perkongsian video di aplikasi TikTok milik Cikgu Muhammad Hazwan Serman yang memperlihatkan barisan guru menggenggam api bagi acara perasmian dan penutup program berkenaan.
Cikgu Muhammad Hazwan memberitahu, pelancaran itu dibuat sempena Minggu STEM yang melibatkan semua panitia iaitu Reka Bentuk, Matematik dan Sains serta dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik.
"Minggu STEM yang berlangsung baru-baru ini merupakan acara tahunan sekolah di mana kami para guru memberi peluang kepada pelajar untuk menonjolkan bakat dalam bidang STEM ini.
"Antara aktiviti yang disediakan adalah pertandingan reka bentuk bangunan, pertandingan robotik serta kuiz sains dan matematik.
"Melalui pertandingan ini juga, sekolah dapat memilih pelajar yang berbakat untuk menyertai pertandingan di peringkat lebih tinggi pada masa akan datang,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Bestari baru-baru ini.
Malah ulasnya lebih lanjut tentang penerimaan dan maklum balas pelajar, beliau memaklumkan, rata-rata mereka kelihatan lebih seronok dan gembira dengan kaedah pembelajaran luar bilik darjah berkenaan.
Sementara itu, video yang dikongsi di TikTok itu berjaya mendapat lebih 900,000 tontonan dengan lebih 60,000 tanda suka.
Tambah Cikgu Muhammad Hazwan lagi, selain program Minggu STEM, sekolah turut menganjurkan beberapa program berunsurkan pertandingan terutamanya di bulan Ramadan ini.
Pertandingan ini termasuklah Tilawah dan Hafazan al-Quran serta bercerita kisah agama di mana pelajar akan bersaing antara kelas bagi melayakkan diri untuk mewakili sekolah.