Fenomena cuaca panas terik dan kering yang melanda ketika ini tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat khususnya dalam kalangan pelajar dan mahasiswa di institut pengajian tinggi (IPT).
Ini kerana pelbagai masalah kesihatan boleh berlaku kepada semua individu yang terdedah dengan kepanasan melampau secara berterusan dalam jangka masa yang lama.
Dalam situasi bahang cuaca panas hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengkategorikannya sebagai gelombang haba iaitu satu tempoh suhu tinggi luar biasa yang melebihi suhu maksimum purata harian dengan keadaan cuaca yang agak panas.
Di Malaysia, gelombang haba ditakrifkan apabila suhu maksimum harian melebihi 37 darjah celsius untuk tiga hari berturut-turut dan kebiasaannya berlaku pada Mac hingga April.
Orang awam dinasihatkan untuk mengikuti arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan mengikuti perkembangan keadaan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, suhu maksimum harian merekodkan 37 darjah celcius membabitkan negeri-negeri utara Semenanjung dan pedalaman Kelantan dan Pahang.
"Fenomena ini dijangka tidak berlarutan terlalu lama disebabkan hujan dijangka berlaku di kebanyakan tempat dalam beberapa hari akan datang,” ujarnya seperti dipetik sebuah portal tempatan.
Menurut Muhammad Helmi, individu yang bekerja di luar bangunan dinasihatkan untuk berhati-hati sekiranya cuaca terlalu panas ketika ini.
"Risiko akibat suhu yang terlalu tinggi atau gelombang haba seperti dehidrasi, kekejangan haba, keletihan haba dan strok haba boleh memburukkan kesihatan seseorang,” jelasnya.
Sementara itu, KKM dalam telegramnya baru-baru ini, berkongsi tujuh panduan kesihatan bagi mengekalkan kesihatan sepanjang musim kejadian gelombang haba.
Panduan kekal sihat ketika cuaca panas itu terdiri daripada
1) Pakai topi atau payung untuk melindungi diri daripada pancaran haba terus ke badan.
2) Banyakkan minum air kosong tanpa mengira tahap aktiviti fizikal.
3) Guna kipas atau pendingin hawa untuk menyejukkan badan.
4) Pakai pakaian yang ringan, berwarna terang dan longgar.
5) Tidak duduk di dalam kenderaan yang bertutup tanpa pendingin hawa.
6) Lebihkan masa berada di dalam rumah dan hadkan aktiviti luar.
7) Kurangkan minum minuman berkafein, beralkohol dan bergula.