Ada pendapat mengatakan penulis boleh ‘dilahirkan’ atau ‘dijadikan’ dan mereka yang sememangnya ‘dilahirkan sebagai penulis’ pastinya mempunyai bakat untuk mereka cerita, seorang individu kreatif dan idea sentiasa bermain di kepala.
Namun begitu, bagi Cikgu Mastura Abdullah, sekiranya ada kemahiran menulis dan ditambah pula seorang yang kreatif, itu adalah bonus untuk mereka yang ingin menjadi seorang penulis yang baik.
Ini kerana menurutnya, kedua-dua kemahiran tersebut berkait rapat dengan cara penulis itu mengolah cerita yang hendak dihasilkan.
"Sekadar berkongsi pengalaman, menulis novel memerlukan daya imaginasi yang tinggi dari seorang penulis.
"Bukan semua watak yang ‘diwujudkan’ dari kisah benar dan begitu juga dengan jalan cerita, tidak semua dari kisah benar.
"Saya sendiri tidak pernah menulis dari kisah benar dan plot yang ditulis selalunya hanyalah imaginasi tetapi jika kita sebagai penulis dapat mengolah dengan baik, pembaca pun akan berada dalam dunia imaginasi yang sama dengan penulis dari awal cerita hingga ke perkataan ‘TAMAT’,” ujarnya yang merupakan salah seorang penulis novel di bawah penerbitan Alaf 21.
Bercerita lanjut mengenai penglibatannya di dalam bidang penulisan terutamanya novel, ujar guru Sekolah Kebangsaan (SK) Chengal Lempong, Kuantan, Pahang ini, segala-galanya bermula dengan sekadar ingin memenuhi masa lapang.
Siapa sangka, hobi masa lapang yang bermula ketika di sekolah menengah telah mendorong cikgu yang berusia 39 tahun itu menghasilkan tujuh buah novel setakat ini.
Masih aktif menulis novel dan kini dalam penghasilan manuskrip terbaharu, bagaimanapun Cikgu Mastura mengutamakan kerjaya hakiki iaitu sebagai seorang guru dan hanya menulis ketika berkelapangan.
"Saya sebenarnya ulat buku dari sekolah rendah dan suka pergi perpustakaan untuk membaca buku. Tabiat ini dibawa sehingga masuk sekolah menengah tapi saya mula serius menulis masa di universiti.
"Masa itulah semangat berkobar-kobar hendak menulis semula cerita pertama yang ditulis semasa di Tingkatan Lima dan hantar ke sebuah syarikat penerbitan.
"Tapi malangnya, kena reject sebab selepas dua ke tiga tahun masih belum dapat jawapan. Frust jugak, tapi saya cuba lagi selepas kahwin,” ceritanya lanjut.
Berbalik kepada kemahiran yang diperlukan untuk menjadi penulis novel, beritahu ibu kepada lima orang cahaya mata ini, minat antara faktor penting yang perlu ada terlebih dahulu kerana dengan minat seseorang akan mula menumpukan usaha untuk mengasah kemahiran.
Pada masa yang sama, Cikgu Mastura turut menasihatkan kepada mereka yang ingin menjadi seorang penulis novel selain minat, kemahiran menulis dan juga seorang yang kreatif dan kerap menulis adalah latihan terbaik.
Senarai novel yang pernah dihasilkan Cikgu Mastura
Andai Ku Bermimpi
Tak Mengapa Sayang
Abangku, CEO Sengal
Designer Abang Cengeh
Calon Isteri Alexander Zulkarnaeen
Osaka With Love
Unforgettable Love