Memaknai sambutan Hari Kebangsaan Negara

Iklan
Harga sejarah sesebuah negara tidak ternilai dan perpaduan adalah pasak kepada pembinaan sesebuah negara.

Justeru itu, agenda perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia tidak akan dapat disemai melalui ilmu pengetahuan sahaja sekiranya tiada kemampuan memahami perjuangan pemimpin-pemimpin terdahulu.

Keteguhan perpaduan akan berupaya menggembleng gagasan patriotisme dan merintis ke arah pembentukan bangsa Malaysia.

Patriotisme bersifat inklusif dan berpaksikan terhadap negara. Negara adalah milik jiwa setiap warganya yang harus dipertahankan walaupun melibatkan pengorbanan harta dan nyawa.

Kesungguhan membina sebuah kerajaan dibuktikan apabila berpegang kepada konsep ‘sepuluh negeri boleh dicari, selagi ada raja berdaulat.

Sejarah pembinaan Malaysia bermula dengan pemugaran Kesultanan Melayu Melaka.

Namun, pereputan dalaman, kurangnya taat setia, mencari kekayaan sendiri, rasuah dan perpecahan dalam masyarakat membawa kepada keruntuhan sebuah Kesultanan Melayu yang hanya mampu bertahan selama 111 tahun sebelum ditakluk oleh Portugis pada 24 Ogos 1511.

Perpaduan merupakan senjata mapan bagi membina kekuatan bangsa Malaysia yang terdiri dalam kalangan pelbagai ras dan keturunan.

Dalam usaha ini, Kementerian Pendidikan (KPM) telah menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai komponen teras dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang wajib dipelajari oleh semua murid dari Tahun Empat dan Enam.

Iklan
Iklan


Kurikulum ini merupakan satu usaha berterusan untuk mendedahkan murid dengan perkembangan ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengamalan nilai serta penerapan semangat jati diri sebagai warganegara Malaysia.

Menyedari kepentingan pemugaran semangat cintakan negara, Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 13, Benta, Kuala Lipis, Pahang telah mengadakan program Sambutan Hari Kebangsaan Negara dan Hari Malaysia pada 8 September 2023.

Objektif penganjurannya ialah untuk membolehkan murid-murid menghayati makna kemerdekaan dan berusaha untuk mengekalkan nikmat kebebasan yang dikecapi.

Di samping itu, tujuannya untuk mengamalkan hidup bersatu padu antara kaum dan menghayati tema Hari Kebangsaan Negara iaitu ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan.’

Program secara berkolaborasi telah dianjurkan oleh warga SK Batu 13 yang diketuai Aniza @ Haniza Wahab bersama dengan SK Benta, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jerkoh dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Benta.

Program tersebut turut mendapat sokongan daripada Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SK Batu 13 iaitu Cikgu Roslan Hassan dan Profesor Madya Dr Mohamed Ali Haniffa dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang telah menyampaikan ceramah bertajuk ‘Di atas Runtuhan Kota Melaka, Kita Dirikan Malaysia yang Berdaulat’.

Pemilihan tajuk ceramah ini adalah bertepatan dengan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Sejarah Sekolah Rendah.

Fokus ceramah ialah mengenai asal mula pembinaan sebuah kerajaan yang meliputi struktur masyarakat, tokoh terbilang dan pemerintah pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Pemahaman terhadap tajuk ini disampaikan melalui aplikasi asas Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS) dan Elemen Kewarganegaraan serta Nilai Sivik.

Matlamatnya ialah untuk membina teras jiwa generasi masa kini yang mampu melahirkan pemimpin yang berkaliber pada masa hadapan dan memupuk rasa bangga serta setia kepada institusi pemerintahan dahulu dan kini.

Turut disentuh ialah mengenai kedaulatan negara meliputi penjajahan dan campur tangan kuasa luar yang menyebabkan penentangan serta perjuangan tokoh tempatan yang menjadi inspirasi kepada anak bangsa untuk menuntut kemerdekaan negara kita.

Pendedahan terhadap warisan negara yang merangkumi aspek institusi raja, agama Islam dan bahasa Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan juga diterangkan.

Pemahaman mengenai tajuk ini penting dalam usaha menghayati dan menghargai tradisi tersebut sebagai warisan negara bagi melahirkan semangat jati diri serta taat setia kepada negara. Dengan kata lain, perpaduan adalah kekuatan utama sebuah masyarakat dan bangsa..

Usaha murni yang dilaksanakan oleh pihak sekolah dalam memaknai sambutan Hari Kebangsaan Negara penting dalam hasrat melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran negara.

Hal yang demikian sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Elemen kesepaduan aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai yang disampaikan diharapkan mampu memberi pemahaman kepada murid untuk membina jati diri sebagai rakyat Malaysia.

Penerapan patriotisme perlu dilaksanakan tanpa mengira agama dan bangsa.

Kepelbagaian murid-murid perlu dilihat sebagai kekuatan dalam memacu kecemerlangan negara.

Hal yang demikian juga bertepatan dengan konsep ‘Anak Yang Baik Lagi cerdik’ (ABC) di mana murid-murid dididik untuk menjadi modal insan berilmu dan berakhlak mulia sebagai persediaan mewarisi negara.

Pemugaran patriotisme tidak perlu dilihat dari aspek politik atau ekonomi semata-mata. Patriotisme membabitkan perasaan yang jauh lebih kompleks.

Dalam pengertian yang lebih luas, sifat patriotisme rakyat ialah dengan mendisiplinkan diri sendiri dan bekerja bersungguh-sungguh berasaskan penghayatan ilmu yang dipelajari bagi memastikan negara akan membangun serta maju mengikut acuan yang ditetapkan.

Penghayatan terhadap nilai-nilai sejarah, peradaban dan tamadun bangsa perlu dibajai.

Rentetan sejarah pembinaan negara seharusnya dijadikan panduan oleh generasi kini tak kala usia kemerdekaan negara yang masih baharu.

Usaha murni sedemikian perlu diteruskan secara konsisten dan bukan hanya sekadar memenuhi Petunjuk Prestasi Utama yang ditetapkan.

Pengertian patriotisme perlu dicipta semula bagi memastikan kesegarannya.

Patriotisme adalah perasaan yang sentiasa relevan walaupun berlaku perubahan zaman.

Maklumat Penulis

Pensyarah Kanan, Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia, Jabatan Tamadun dan Falsafah, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, UUM, Profesor Madya Dr Mohamed Ali Haniffa
Iklan
Iklan