Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata perasaan gembira dan teruja Abdul Jabbar Nur Abdul Hamid ketika dinobatkan Ketua Platun Terbaik pada Pertandingan Kawad Kaki sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil, Selangor itu, tidak menyangka hasil usaha keras sepanjang latihan akhirnya membuahkan hasil hingga berjaya mengangkat nama baik sekolah serta membanggakan keluarganya.
Menurut Abdul Jabbar Nur, dia dan ahli pasukan kawad kaki sekolah sudah lama menyimpan hasrat mahu mencapai sekurang-kurangnya satu kejayaan sebelum menamatkan pelajaran di peringkat sekolah menengah.
"Alhamdulillah, saya bersyukur dan bangga kerana memenangi Anugerah Ketua Platun Terbaik yang boleh dijadikan batu loncatan untuk pasukan kawad kaki sekolah mencapai lebih banyak anugerah dalam kokurikulum ini.
"Walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan namun ia tetap tidak menghalang saya dan pasukan untuk terus bersemangat agar mampu mengharumkan nama sekolah kelak," katanya kepada Sinar Bestari.
Mengulas tentang cabaran dan rintangan yang terpaksa ditempuh sepanjang bergiat aktif dalam kawad kaki, Abdul Jabbar Nur memberitahu, dia perlu membiasakan diri dengan keadaan cuaca panas selain perlu berdiri lama sewaktu berlatih.
Bahkan sebagai ketua platun juga memerlukan dirinya untuk menjaga kesihatan diri dan suara agar setiap arahan yang dikeluarkan kepada pasukan kedengaran jelas dan lantang.
Tambah Abdul Jabbar Nur lagi, tidak cukup dengan itu dia juga berdepan dengan kekangan waktu dalam mengimbangi masa belajar dan latihan kawad kaki.
"Cabaran terbesar sepanjang terlibat dengan kawad kaki sejak Tingkatan Satu adalah berdepan dengan cuaca panas serta perlu membahagi masa antara belajar dan jalani latihan.
"Ini kerana kadang-kala saya perlu berlatih sepanjang hari dan akui ia sedikit sebanyak menganggu pembelajaran," ujarnya.
Justeru katanya, bagi mengelakkan diri dari terus ketinggalan dalam pembelajaran, waktu malam digunakan untuk mengulang kaji pelajaran dan menyiapkan tugasan sekolah yang diberi guru-guru.
Sebagai seorang yang akan menamatkan zaman sekolah menengah tidak lama lagi, Abdul Jabbar Nur menitipkan pesanan kepada pelajar-pelajar baru yang berminat menyertai pasukan kawad kaki sekolah.
"Suka saya ingatkan sekiranya ada dalam kalangan pelajar-pelajar baru seperti Tingkatan Satu yang mahu melibatkan diri dalam kawad kaki untuk bijak mengurus masa antara kurikulum dan kokurikulum.
"Jangan disebabkan ingin fokus dalam kokurikulum sehingga perkara utama iaitu belajar terus dilupakan kerana kita masih seorang pelajar sekolah.
"Bukan itu sahaja, solat juga hendaklah tidak diambil mudah kerana ia adalah tiang agama. Sibuk macam mana kita perlu jaga solat,” jelasnya.