Konflik yang tercetus membabitkan rejim Israel dan Palestin sejak 75 tahun lalu, sehingga kini masih belum ada titik noktah.
Dalam tempoh ini, ribuan umat Islam yang syahid akibat kekejaman rejim Zionis Israel.
Pencerobohan oleh pasukan ketenteraan Israel dengan sengaja mengebom kemudahan yang terdapat di Semenanjung Gaza.
Pada hari pertama peperangan, rejim Zionis mengebom Hospital Indonesia dan Hospital al-Shifa. Malah, puluhan bedilan roket turut disasarkan ke arah bangunan kediaman dan ibu pejabat kebajikan di Gaza City.
Menara Palestin yang terdiri daripada pelbagai institusi media terutamanya Shehab News dan stesen radio tempatan turut menjadi sasaran askar rejim.
Dalam siri serangan itu, Israel menggunakan fosforus putih yang diharamkan di peringkat antarabangsa di Genting Gaza dan lebih menyakitkan hati apabila bedilan terus menyasarkan kawasan perumahan padat penduduk di wilayah tersebut.
Lapor agensi berita Al-Alam, tentera rejim Zionis melepaskan bom yang terlarang itu ke atas kawasan kediaman di Gaza selepas tiga hari Taufan Al-Aqsa. Untuk rekod, bom fosforus putih menyebabkan kecederaan serta-merta pada paru-paru, jantung, hati dan buah pinggang, selain berupaya melecurkan kulit serta otot manusia dan boleh mengakibatkan sesak nafas, dalam serangan ke atas Gaza.
Khianat rejim Zionis
Dalam tempoh darurat akibat hancurnya kediaman, kemudahan awam, sumber makanan dan air, memaksa penduduk Gaza mematuhi 'arahan' rejim yang meminta mereka keluar dari utara Semenanjung Gaza dalam tempoh 24.
Arahan itu bagaimanapun adalah helah rejim untuk mengosongkan Gaza dan lebih menyedihkan apabila penduduk yang dikhianati itu dibunuh sewaktu dalam perjalanan ke wilayah selatan Gaza. Kenderaan dan trak yang dinaiki dibom dan seramai 70 orang terkorban. Perkara ini telah disahkan oleh Hamas pada 13 Oktober lalu.
Serangan demi serangan telah pun dilancarkan menyebabkan fasiliti di Gaza hancur. Antara fasiliti utama yang terjejas adalah hospital.
Kementerian Kesihatan di Gaza mendedahkan, bekalan ubat-ubatan di 35 buah hospital dan bahan api hampir kehabisan kerana perkhidmatan kesihatan memasuki tahap kritikal. Mereka yang cedera hanya beralaskan lantai sehingga melimpah ke pintu bbilik rawatan akibat hospital yang padat.
Bekalan air bersih juga amat kritikal apabila rejim Zionis dengan senang hati membuat sekatan terhadap sumber itu dengan memasukkan simen ke dalam saluran air. Tindakan itu menyebabkan warga Gaza hilang bekalan air bersih. Trak bantuan yang membawa minuman air bersih juga dibom.
Dedah al-Jazeera, sebanyak 756 trak telah memasuki sempadan Rafah sejak 21 Oktober lalu, tetapi bekalan bahan api masih tidak dibenarkan untuk memasuki sempadan. Bukan itu sahaja, infrastruktur komunikasi di Gaza juga lumpuh sepenuhnya kerana bekalan elektrik terputus.
Untuk rekod, konflik berdarah di Gaza telah meragut lebih 21,000 nyawa membabitkan 8,200 kanak-kanak, manakala sejumlah 55,243 penduduk cedera.
Justeru, warga Malaysia yang sinonim dengan sifat mudah bersimpati dan membantu disaran agar terus menyebarkan berita mengenai keadaan penduduk Palestin supaya kekejaman rejim Zionis mampu dituntaskan.
Kita juga digalakkan menyalurkan sumbangan kepada sumber yang betul bagi membantu perjuangan rakyat Palestin walaupun tidak secara total sekali gus tanda solidariti mempertahankan tanah air mereka.
Maklumat Penulis
Mahasiswa tahun tiga Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Nur Amyra Abdul Rahman
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my