Sejak wabak Covid-19 mula menular di negara kita, penggunaan telefon bimbit menjadi keperluan pelajar sekolah asrama seperti Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Baca juga
10 pelajar MRSM terlibat buli ditamatkan pengajian
Kelonggaran ini dikuatkuasakan bagi memudahkan mereka untuk berkomunikasi dengan ibu bapa atau penjaga.
Walau bagaimanapun, pelajar MRSM terikat dengan peraturan-peraturan asrama yang telah ditetapkan.
Jika pelajar pertama kali membawa telefon bimbit ke asrama, mereka hendaklah mendaftarkannya dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar MRSM.
Kemudian, alat komunikasi tersebut mestilah mempunyai pelekat pengesahan maktab dan mereka dibenarkan menggunakan SATU sahaja peranti tersebut.
Namun, alat berkenaan tidak boleh mempunyai sebarang ciri pintar seperti kamera, kad memori, fungsi muzik dan penggunaannya terhad di asrama sahaja.
Adalah dilarang menggunakan peranti elektronik itu ketika hari persekolahan, kelas persediaan pagi, petang dan malam, semasa majlis rasmi dan juga pada jam 11.30 malam hingga 6.00 pagi hari Sabtu dan Ahad.
Jika pelajar ingin mengecas telefon bimbit hanyalah di kawasan asrama yang berplug sahaja. Mereka dilarang mengecasnya di blok pentadbiran, akademik, surau, dewan dan lain-lain.
Mereka juga tidak dibenarkan membuat penyambungan wayar secara haram semata-mata untuk mengecas peranti berkenaan.
Pihak MRSM juga tidak akan bertanggungjawab ke atas apa-apa jua kerosakan, kemalangan atau akibat daripada penggunaan tersebut.
Pihak bertanggungjawab juga berhak mengambil tindakan bagi penggunaan telefon bimbit yang dianggap melanggar syarat seperti mengandungi unsur-unsur lucah, mengancam keselamatan kakitangan MRSM dan disifatkan sebagai tidak bermoral.
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok
Jika pelajar didapati melanggar mana-mana garis panduan tersebut, maka, set telefon bimbit akan dirampas dan hanya akan dipulangkan setelah mereka tamat pengajian.