Ketegasan warden, psikologi pelajar

Iklan

Kepimpinan konsisten cipta rasa selamat pelajar MRSM

Dalam kehidupan asrama, peranan warden bukan sahaja menjaga disiplin, malah menjadi tonggak kepada kesejahteraan emosi pelajar.

Lebih menggembirakan apabila kepimpinan yang lebih sistematik dan konsisten akan memastikan suasana harmoni dapat diwujudkan dalam rumah kedua pelajar.

Iklan
Iklan

Menurut Penolong Profesor Kulliyyah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mar'Ain Ahmad Dani, kepimpinan yang stabil mampu mencipta rasa selamat dalam kalangan pelajar walaupun didikan tegas dilakukan.

“Apabila warden menetapkan peraturan adil, pelajar akan lebih mudah memahami had yang perlu dipatuhi sekali gus mengurangkan kekeliruan dan tekanan.

Iklan

“Lebih daripada itu, kepimpinan bersifat membimbing ini boleh memberikan keyakinan kepada pelajar bahawa mereka sentiasa dalam persekitaran yang terjaga.

“Secara tidak langsung, disiplin diperkukuhkan, sahsiah diri dan keyakinan diri pelajar juga dapat dibina,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Bestari.

Iklan

Mental pelajar

Apabila Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mengambil langkah melantik veteran tentera sebagai warden, timbul pula persoalan tentang psikologi pelajar yang mungkin terkesan dengan perubahan itu.

Namun bagi sebahagian pelajar, kehadiran warden berlatarkan dunia ketenteraan membawa rasa hormat yang tinggi dek kerana imej ketegasan dan disiplin.

Bagaimanapun, ada di antara mereka yang mungkin berasa tertekan atau bimbang kerana khuatir warden baharu ini lebih cenderung kepada pendekatan keras, mirip latihan ketenteraan.

Situasi ini boleh mempengaruhi emosi dan tingkah laku pelajar sama ada menjadi lebih berdisiplin atau sebaliknya sehingga menyemai perasaan memberontak secara pasif.

Gambar kecil: Dr Mar'Ain

Akui Mar'Ain Ahmad Dani, di sebalik kepatuhan yang terlihat, semua pihak tidak boleh menolak kemungkinan wujud pelajar yang menyimpan rasa tidak puas hati.

“Mereka mungkin mematuhi arahan secara luaran, namun dalam diam melawan dengan cara pasif sama ada melalui sikap acuh tak acuh, tidak memberi kerjasama penuh atau memilih untuk berdiam diri tanpa sebarang perubahan positif.

“Fenomena ini dikenali sebagai pemberontakan pasif dan jika tidak ditangani dengan bijak, ia mampu menjejaskan suasana pembelajaran, disiplin serta kesejahteraan pelajar di asrama,” katanya.

Teladan gaya hidup sihat

Pemilihan warden asrama bukan sekadar menilai kemampuan mereka menjaga disiplin pelajar tetapi turut menitikberatkan soal gaya hidup yang diamalkan.

Justeru, saringan latar belakang calon perlu dilakukan dengan lebih teliti, khususnya berkaitan sejarah penyalahgunaan bahan terlarang seperti dadah, alkohol dan sebarang bentuk ketagihan.

Bagi Mar'Ain, calon warden asrama perlu bebas tabiat merokok atau penggunaan rokok elektronik.

“Ini penting kerana merekalah yang akan menjadi suri teladan utama kepada pelajar yang sedang membina identiti diri.

“Bukan hanya sekadar mengeluarkan arahan, warden perlu menunjukkan teladan hidup sihat melalui amalan seharian mereka.

“Dengan cara ini, mesej disiplin dan kesihatan lebih berkesan sekali gus membentuk suasana asrama kondusif, selamat dan positif,” ujarnya.