1339725
1339725

10 pelajar MRSM terlibat buli ditamatkan pengajian

Mohd Khairi Mohamad Yusri
14 Dec 2021 05:56pm
A
A
A

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna, mungkin itu yang boleh dikatakan kepada 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dikenal pasti terlibat dalam kes buli yang tular baru-baru ini.

Menurut laporan Sinar Harian, kesemua yang terlibat itu telah dikenakan tindakan tatatertib penamatan pengajian oleh Jawatankuasa Disiplin Bahagian Pendidikan Menengah Mara.

Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf, berkata, mereka telah mengkaji kes tersebut dengan teliti dan mengambil keputusan menamatkan pengajian pelajar terbabit berkuat kuasa pada Selasa.

BACA JUGA: Tular lagi video buli, Maszlee harap pihak berkuasa ambil tindakan

BACA JUGA: Elak buli, ini 7 teknik pertahankan diri yang wajib pelajar ketahui

“Pihak Mara mengambil serius kejadian buli yang berlaku minggu lalu dan hukuman yang telah diputuskan ini menunjukkan pihak kita tegas dan tidak berkompromi terhadap kesalahan buli dalam kalangan pelajar-pelajar di bawah mana-mana Institusi Pendidikan Mara, Institusi Pendidikan Mara (IPMa) mahupun tajaan Mara.

“Ibu bapa pelajar terlibat telah dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa berkenaan.

“Keputusan penamatan pengajian itu dibuat berdasarkan garis panduan yang telah dinyatakan dalam Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar MRSM,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

BACA JUGA: Buli siber di kalangan kanak-kanak catat penurunan  kajian Digi

BACA JUGA:  Keluarga antara faktor dorong individu menjadi pembuli

Mengulas lanjut, Azhar berkata, keputusan ini bukan sahaja menjadi satu pengajaran kepada pelajar yang terlibat, tetapi juga kepada pelajar-pelajar yang lain agar tidak berlaku lagi perbuatan salah laku di mana-mana institusi pendidikan di bawah Mara.

Tambah beliau, Mara tentunya hendak melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu pengetahuan tetapi juga mempunyai sahsiah diri dan tingkah laku peribadi yang baik serta diterima oleh masyarakat.

“Pihak Mara bersungguh-sungguh dalam menangani kes-kes buli dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) melalui penguatkuasaan peraturan sekolah.

“Selain melaksanakan pemantauan secara berterusan segala aktiviti pelajar termasuk proses pembelajaran di dalam kelas bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok