Putrajaya - Kementerian Pendidikan (KPM) dan Lembaga Peperiksaan (LP) telah menyediakan garis panduan ekoran situasi banjir yang melanda beberapa daerah di Kelantan dan Terengganu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KPM pada Selasa, keadaan ini memberi kesan terhadap persiapan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 yang dijadualkan pada 2 Mac hingga 29 Mac 2022.
Baca juga
Banjir di Terengganu dan Kelantan: KPM buka bilik gerakan banjir
(VIDEO) Tidak putus asa! Banjir bukan alasan, pelajar tetap bersemangat hadapi SPM 2021
"LP dan KPM sentiasa memantau rapi situasi semasa pusat peperiksaan yang terjejas dan telah menyediakan pelan tindakan bagi memastikan calon SPM tahun 2021 dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan teratur dan selamat.
"Berdasarkan ketetapan sedia ada, pengurusan pusat peperiksaan yang terjejas akibat banjir dilaksana mengikut ketetapan Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir Yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan Bil.1/2001,” katanya.
Garis panduan yang dikeluarkan memberi penekanan khusus mengenai pengurusan menghadapi banjir semasa peperiksaan awam yang meliputi aspek pengurusan sekolah dan pusat peperiksaan, calon, petugas serta pengurusan bilik kebal.
KPM memaklumkan pihaknya sentiasa prihatin tentang kebajikan calon yang terlibat dengan banjir.
"Oleh yang demikian, sekiranya calon peperiksaan SPM 2021 tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan disebabkan bencana banjir, calon terlibat boleh menghubungi guru kelas, Setiausaha Peperiksaan atau pengetua di sekolah masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut.
"Selain itu, calon yang terkesan juga dibenarkan untuk menduduki peperiksaan di pusat peperiksaan lain yang boleh diakses sebagai calon menumpang dan perlu dimaklumkan kepada pusat peperiksaan asal. Perincian lanjut adalah seperti perkara 2.0 di Lampiran 1.
"Bagi calon atau petugas peperiksaan yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai pengurusan menghadapi banjir semasa peperiksaan SPM ini, sila hubungi bilik gerakan LP dan Jabatan Pendidikan Negeri seperti senarai di Lampiran 2,” katanya.
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok
Lampiran 1
Lampiran 2