Gigih cungkil bakat murid Orang Asli dalam robotik. Akhirnya, usaha Cikgu Mohd Zulkhairi berbaloi!

Iklan
Gigih cungkil bakat murid Orang Asli dalam robotik

"Satu kepuasan yang sukar untuk digambarkan,” demikian kata Cikgu Mohd Zulkhairi Umar apabila berbicara mengenai bakat dan kebolehan murid Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Keledang, Pekan, Pahang dalam bidang robotik.

Iklan
Iklan

Beliau yang merupakan guru Bahasa Melayu di sekolah berkenaan berkata, murid-muridnya itu sangat berbakat dan berpotensi besar.

Iklan

"Walaupun anak-anak ini dalam kalangan murid Orang Asli, namun mereka sangat hebat.

Iklan

"Bermacam-macam anugerah dan pencapaian yang telah diraih dan perkara ini sememangnya menjadi kebanggaan buat sekolah,” katanya kepada Sinar Bestari.

Terdahulu, SK Permatang Keledang merupakan antara sekolah murid Orang Asli yang terletak di Pekan, Pahang.

Seramai 14 orang guru dan 137 murid bersekolah di situ yang mana hampir 90 peratus merupakan murid Orang Asal daripada suku kaum Jakun.

Sebilangan besar murid-murid pernah mewakili sekolah ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam robotik.

Antara kejayaan yang pernah diraih adalah Johan Kategori Lega di Pahang National Hackathon And Foxhunting 2019; Pertandingan RVG peringkat antarabangsa di Panama 6 hingga 14 Disember 2021; Pertandingan RBTX Petrosains peringkat kebangsaan 4 hingga 5 Disember 2021; Pertandingan RVG peringkat antarabangsa di Panama 6 hingga 14 Disember 2021 dan banyak lagi.

Akan datang, peserta robotik ini akan menyertai Pertandingan RBTX anjuran Petrosains 2022; Pertandingan Virtual RVG 2022 dan pertandingan antarabangsa di Korea dan Jepun.

Cikgu Mohd Zulkhairi yang juga Penyelaras Robotik SK Permatang Keledang berkata, murid Orang Asli tetap sama seperti murid di sekolah lain.

"Mereka ada bakat tersendiri jika seorang guru bijak mencungkil kebolehan yang ada. Macam murid sekolah ini, ketika mula-mula diperkenalkan dengan robot, jelas keterujaan raut wajah mereka apabila melihat saya mengawal robot.

"Kerana itu, tercetuslah penubuhan Kelab Robotik di sekolah dan pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan. Daripada kelas tersebut, dua murid iaitu Fazrin Zuhairie A/L Azmi dan Herry A/L Mohamad Rosdan telah menunjukkan bakat luar biasa mereka.

"Masing-masing cekap dan mahir menguruskan robot. Jadi di situlah bermula kisah perjalanan kami dan bidang robotik,” katanya dengan memuji yang murid Orang Asli sangat mudah mesra dengan guru-guru. Mereka sangat mahir dalam mereka bentuk robot dan mengubah suai model robotik sekiranya mendapat pendedahan daripada awal.

Tambah guru ini lagi, murid Orang Asli mampu pergi lebih jauh jika mendapat pendedahan yang lebih dalam robotik.

"Murid yang terlibat dalam bidang robotik juga mempunyai keputusan akademik yang baik dalam pelajaran.

"Malah, mereka juga turut aktif dalam bidang sukan hingga ada antaranya dapat mewakili daerah dan negeri dalam sukan-sukan tertentu,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Guru Besar, Rusmina Hassan melahirkan rasa bangganya atas penglibatan murid-muridnya dalam bidang robotik.

"Saya berterima kasih kepada Cikgu Mohd Zulkhairi yang banyak membantu pihak sekolah dalam mencari bakat baharu dalam robotik.

"Sungguh saya sangat terkejut dengan kebolehan anak-anak didik. Saya sangat berharap Cikgu Mohd Zulkhairi dapat melahirkan lebih ramai lagi murid dalam robotik hingga dapat mewakili sekolah dan negeri dalam setiap pertandingan yang akan diadakan kelak,” katanya.

Dalam pada itu, Cikgu Mohd Zulkhairi mengharapkan yang murid-muridnya dapat bersaing secara sihat dan mampu membawa kejayaan berganda untuk sekolah.

"Jangan ada rasa rendah diri. Anda usaha, anda akan dapat. Percayalah,” ujarnya yang berhasrat akan terus meningkatkan kemahiran diri dalam robotik dan terus mencungkil bakat dan potensi murid-muridnya dalam bidang tersebut.

Akhiri beliau, robotik bukan hanya berkaitan tentang elektronik dan elektrik tetapi ia lebih luas daripada itu.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada bekas Guru Besar, Ahmad Zaidi Samsudin yang telah banyak membantu dan memberi sokongan sepanjang berkhidmat di SK Permatang Keledang. Tidak dilupakan mentornya dalam robotik iaitu Cikgu Wan Rahmat Wan Ismail.

"Saya yakin, pembelajaran bidang ini dapat mencetuskan minat murid untuk mendalaminya. Ini kerana, melalui penyertaan dalam pertandingan robotik, ia dapat meningkatkan kepakaran menggunakan peralatan berteknologi seperti memprogramkan komputer, membina dan mereka cipta robotik dan menguasai seni dan bahasa.

"Malah, pertandingan secara berkumpulan pula, dapat menyemai semangat berpasukan, meningkatkan kebolehan berkomunikasi dan mengasah bakat kepimpinan. Secara tidak langsung kebolehan menyelesaikan masalah dan motivasi diri setiap murid dapat diterapkan,” jelasnya.

Artikel berkaitan 

Sertai misi kemanusiaan, majlis konvokesyen pelajar UiTM diraikan di Afghanistan

Komponen kemahiran dalam subjek Sejarah, ini yang pelajar akan dapat

Beg sekolah berat: Pakar Ortopedik, orang ramai kongsi pandangan dan harapan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok