Komponen kemahiran dalam subjek Sejarah, ini yang pelajar akan dapat
Komponen kemahiran dalam subjek Sejarah, ini yang pelajar akan dapat

Komponen kemahiran dalam subjek Sejarah, ini yang pelajar akan dapat

Roshlawaty Md Raieh
22 Jun 2022 05:48pm
A
A
A

Apakah subjek yang sentiasa pelajar suka?

Sudah tentu jawapan yang biasa kita dengar adalah Bahasa Melayu, Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.

Sesekali kedengaran juga jawapan seperti ini

“Saya suka Sejarah, suka sangat-sangat”

Seorang guru, Cikgu Nor Amin Lawisau berkata, banyak dapatan kajian menyatakan Sejarah merupakan satu mata pelajaran yang sangat membosankan atau antara lain, mata pelajaran yang paling tidak diminati oleh pelajar.

Menurut beliau, Sejarah adalah subjek yang banyak menghafal fakta, nama, tarikh, tempat dan peristiwa yang berlaku zaman dahulu.

Sejarah seringkali disampaikan melalui teknik lisan atau syarahan oleh guru dalam bilik darjah. Malah, guru Sejarah juga masih menggunakan kaedah lama atau konvensional seperti 'chalk and talk?'

“Kaedah syarahan adalah kaedah paling cepat untuk guru gunakan dalam menyampaikan maklumat namun perlu diasimilasi dengan teknologi dan perkembangan semasa,” katanya yang kini bertugas di Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, Kota Kinabalu, Sabah.

Menurut guru ini, banyak isu yang sering kita dengar apabila berhadapan dengan mata pelajaran Sejarah.

Ada yang kata, belajar Sejarah tidak menjamin apa-apa pekerjaan yang popular.

Malah, belajar Sejarah hanya boleh duduk jaga muzium dan arkib, buat cari gali artifak dan membaca rekod-rekod lama yang menjadi rujukan rasmi kerajaan.

“Sebenarnya, Sejarah ialah satu mata pelajaran klasik kerana wujud seiring dengan perkembangan peradaban dan ketamadunan manusia.

“Misalnya sejak manusia mengenal huruf, simbol, bahasa dan tulisan, maka perubahan dan perkembangan aktiviti manusia terus dicatatkan dalam pelbagai medium sejak beribu tahun lalu.

“Sejarah juga satu mata pelajaran yang abstrak. Sukar dilihat kerana Sejarah melibatkan kognitif atau berkaitan dengan pemikiran, sebab akibat tindakan manusia. Malah, Sejarah juga subjek konkrit yang murid boleh belajar secara dekat terhadap persekitaran atau kehidupan sebenar.

“Contohnya berkaitan topik keluarga, sekolah dan lokasi tempat tinggal, jata negara, bendera dan bunga kebangsaan,” ujarnya.

Belajar ilmu Sejarah

Pada zaman dahulu, orang yang belajar Sejarah ialah putera raja yang bakal memerintah satu kerajaan.

Sejarah juga dipelajari oleh para pemerintah sesebuah kerajaan, golongan diraja, bangsawan dan aristokrat.

Buku-buku dan bahan sejarah pada zaman dahulu sangat terhad dan disimpan di tempat khas.

Persoalannya ialah kenapa golongan ini belajar ilmu Sejarah?

Ujar Cikgu Nor Amin, di Barat, Sejarah dititikberatkan bagi melahirkan masyarakat dan warganegara yang tinggi semangat kenegaraannya.

Ada juga yang berpendapat Sejarah diajar agar dapat mengekalkan kuasa politik sesebuah parti memerintah dan satu alat yang dapat mengawal rakyat.

“Umumnya, melalui Sejarah kita dapat memahami manusia dan masyarakat, memahami perubahan dan bagaimana bentuk masyarakat tersebut dan memahami kepentingan sejarah dalam kehidupan kita dengan menjadi ejen perubahan.

“Sejarah turut menyumbang kepada pemahaman moral, identiti dan mewujudkan warganegara yang baik,” jelas beliau.

Komponen kemahiran

Komponen kemahiran apakah yang ada pada mata pelajaran Sejarah?

Menurut guru ini, satu komponen kemahiran subjek Sejarah yang biasa dan juga digunakan dalam mata pelajaran lain adalah kemahiran membaca, belajar, mencari dan membuat rujukan.

Namun, terdapat beberapa kemahiran lain yang diperoleh pelajar sekiranya mendalami subjek Sejarah.

Kemahiran tersebut adalah kemahiran berfikir termasuklah mengklasifikasikan maklumat, menginterpretasi, menganalisis, mensintesis, membuat kesimpulan, menilai maklumat dan membuat keputusan.

Seterusnya, kemahiran interaksi dalam kumpulan, komunikasi dan kemahiran personal.

Manakala kemahiran spesifik dalam Sejarah ialah kemahiran menghubungkait peristiwa, pemahaman Sejarah (masa, tempat, perubahan, masyarakat, bukti dan interpretasi), interpretasi sumber dan analisis sumber, empati, kemahiran mengenal sebab akibat dan membuat keputusan.

“Pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sejarah perlu menarik perhatian dan minat pelajar agar mereka tahu apa itu Sejarah, dapat membaca Sejarah dengan mengaplikasikan kemahiran pemikiran Sejarah dalam kehidupan sebenar dan belajar dari Sejarah,” akhirinya.

Artikel berkaitan 

Pakar Sejarah Tokoh Terbilang, Prof Datuk Dr Ramlah Adam sifatkan mata pelajaran Sejarah menarik untuk dipelajari

Cikgu Roslani sahut cabaran guru Sejarah, miliki pengalaman 24 tahun sebagai pendidik

Teringin belajar di Jepun, ini antara biasiswa yang pelajar boleh cuba mohon


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok