Sukan berkuda dikatakan antara sukan termahal di dunia kerana kos untuk mendapatkan seekor kuda boleh mencecah jutaan ringgit dan ia belum lagi mengambil kira aspek lain seperti pemakanan dan penjagaan haiwan berkenaan.
Tidak hairanlah apabila hanya golongan elit saja yang sering menceburi sukan berkuda baik di Malaysia atau di peringkat antarabangsa.
Sekiranya ingin menceburi sukan berkuda, seseorang indvidu itu juga perlu menguasai beberapa kemahiran dan ia berbeza mengikut jenis acara yang dipilih.
Minggu ini, Sinar Bestari berpeluang menemu bual Ketua Jurulatih Majlis Equin Malaysia (MEM), Husref Malek Jeremiah yang juga bekas atlet sukan ekuestrian negara mengenai kemahiran yang diperlukan sekiranya seseorang individu itu ingin menceburi sukan berkuda.
SINAR BESTARI: Apakah jenis sukan berkuda yang dimainkan di dunia pada ketika ini?
HUSREF:Terdapat banyak acara sukan berkuda yang boleh disertai termasuklah sukan ekuestrian, endurance (kuda lasak), polo, memanah berkuda dan vaulting (gimnastik berkuda).
Sukan ekuestrian adalah satu-satunya sukan berkuda yang dipertandingkan di peringkat Olimpik membabitkan tiga cara iaitu dressage, show jumping dan eventing.
Sukan kuda lasak pula adalah acara yang paling banyak diadakan pertandingan kerana ia tidak serumit sukan ekuestrian di mana atlet perlu banyak membina keserasian dengan kuda supaya dapat menghasilkan keputusan yang terbaik.
[caption id="attachment_36651" width="600"] Husref (kanan) memberi tunjuk ajar kepada pelajarnya.[/caption]
Apakah perkara paling penting yang diperlukan sekiranya seseorang individu itu ingin menceburi sukan berkuda?
Perkara paling penting yang diperlukan dalam sukan berkuda ialah minat terhadap haiwan dan keberanian kerana mahu atau tidak, risiko terjatuh ketika sesi latihan atau pertandingan tetap ada.
Selain itu, seseorang individu juga perlu memiliki pengetahuan tentang kuda. Saya sering mengingatkan pelajar supaya membina keserasian dengan kuda yang ditunggang dengan menitikberatkan apa yang dirasai oleh kuda itu sendiri.
Tidak pandai menunggang kuda, bukan masalah kerana ia boleh dipelajari tetapi mengambil masa dan bergantung kepada tahap penguasaan individu itu sendiri untuk membiasakan diri dengan kuda masing-masing.
Sukan berkuda sebenarnya membabitkan dua atlet iaitu penunggang dan kuda. Kedua-duanya sama penting terutama ketika menyertai sebarang pertandingan kerana jika penunggang berasa tidak yakin, ia juga akan memberi kesan kepada kuda.
Oleh itu, penunggang perlu mempelajari dan memahami pergerakan kuda yang ditunggang selain menitikberatkan aspek emosi, mental, pemakanan dan kesihatan kuda.
Apakah proses atau latihan yang perlu dilalui sekiranya ingin menjadi atlet sukan berkuda?
Terdapat tiga proses yang perlu dikuasai oleh atlet iaitu asas menunggang kuda, pengetahuan mengenai kuda dan pendedahan kepada pertandingan bagi mengetahui sejauh mana kemahiran yang sudah dikuasai.
Proses pertama iaitu menungang kuda boleh dikuasai seawal tempoh seminggu bergantung kepada seseorang individu itu sendiri tetapi pengetahuan dan pemahaman terhadap pergerakan kuda serta pendedahan kepada pertandingan itu mungkin mengambil masa.
Ini kerana tidak semua kuda yang digunakan untuk sesi latihan mempunyai kemahiran yang sama untuk menyertai pertandingan. Proses menyediakan seekor kuda untuk mempunyai kemahiran menyertai pertandingan mengambil masa lama, kecuali kita membeli kuda yang sudah terlatih menyertai pelbagai kejohanan dan harus diingat, kos seekor kuda bukan murah kerana boleh mencecah jutaan ringgit.
Sesi latihan pula diadakan hanya satu jam kerana kita tidak mahu terlalu memaksa kuda dan perlu memastikan haiwan ini tidak letih bagi menjaga kesihatannya supaya sentiasa berada dalam keadaan terbaik.
[caption id="attachment_36652" width="400"] Husref turut menekankan mengenai aspek penjagaan kuda dalam kalangan pelajarnya.[/caption]
Kongsikan antara cabaran yang perlu dihadapi dalam sukan berkuda?
Selain daripada kos kuda yang mahal, penguasaan kemahiran seekor kuda dalam pertandingan adalah perkara yang paling mencabar.
Seorang atlet atau penunggang itu boleh melatih diri sendiri bagi memastikan mereka dilengkapi dengan kemahiran diperlukan tetapi melatih kuda untuk berada pada satu tahap sesuai dengan pertandingan atau kejohanan sukan yang diadakan bukan satu perkara mudah.
Ia mengambil masa yang lama dan di Malaysia pula tidak ada projek yang membangunkan baka kuda untuk tujuan pertandingan di pelbagai peringkat.
Oleh itu, kita sering lihat atlet sukan berkuda ini akan membeli kuda yang sudah mempunyai tahap penguasaan untuk kejohanan tertentu dan berlatih menggunakan kuda berkenaan bagi membiasakan diri dengan pergerakan kuda itu supaya dapat buat yang terbaik ketika pertandingan.
Ia juga tidak hanya terhad kepada seekor kuda saja, mereka mungkin berlatih menggunakan beberapa ekor kuda dan disebabkan itu sukan ini menelan kos yang tinggi kerana harga kuda itu sendiri sudah mahal, ditambah pula dengan kos penjagaan dan pemakanan.
Sekiranya ada pelajar atau individu di luar sana yang berminat menceburi sukan ini, apakah tip atau nasihat yang boleh dikongsikan.
Bagi pelajar yang berminat menceburi sukan berkuda, tentukan terlebih dulu jenis sukan berkuda yang ingin diceburi bagi memudahkan sesi latihan diadakan pada masa akan datang.
Selain itu, mereka juga perlu tahu di manakah tempat yang sesuai untuk belajar atau mendapatkan latihan dan sentiasa bekerja keras supaya matlamat menceburi sukan berkuda ini dapat dicapai.
Sentiasa menambah pengetahuan mengenai kuda, kena faham kuda yang ditunggang dan hormat haiwan berkenaan. Jika disusuli dengan kesungguhan dalam tiga proses latihan seperti yang saya nyatakan, seseorang individu itu akan dapat menguasai kemahiran dalam sukan berkuda ini.