Pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Sains Gua Musang, Kelantan, Khaleef Ali Norzamani cukup mengagumi atlet ekuestrian negara, Mohd Qabil Ambak Muhamad Fathil yang berjaya membina nama dalam sukan berkuda.
Dek kehebatan dan bakat luar biasa Qabil Ambak itu, Khaleef Ali mula memasang impian untuk menjadi seperti idolanya itu.
"Ketua Jurulatih A.S.Q Equestrian, Aqil Arafat Azwan merangkap jurulatih saya sentiasa berpesan, untuk berjaya, tiada jalan pintas.
"Mesti jalani latihan berterusan, fokus, berdisiplin dan dengar nasihat,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Anak kedua daripada empat beradik ini berkata, minatnya dalam sukan berkuda berputik ketika di bangku sekolah rendah.
"Ketika berumur 10 tahun, saya telah diajar menunggang kuda oleh ayah, Norzamani Mat Zin. Waktu itu, memang takut sebab kuda lebih besar dan sangat tinggi.
"Saya dibawa pusing-pusing sekitar pusat ekuestrian bersama Sakaf, seekor kuda yang sangat jinak dan manja.
"Bermula dari saat itulah saya jatuh cinta dengan sukan ini,” ujar Khaleef Ali.
Menurutnya lagi, sukan berkuda banyak mengajarnya tentang keberanian dan memupuk keyakinan dalam diri.
"Kuda adalah seekor haiwan yang jinak dan manja.
"Saya memang ada kuda sendiri yang bernama Anggun. Bersama Anggun, saya jadi berani dan yakin untuk menunggang.
"Malah, kerana Anggun dan sokongan keluarga serta jurulatih, saya berjaya menyertai kejohanan besar yang pertama iaitu Kejohanan Kuda Lasak Menteri Besar Terengganu baru-baru ini,” katanya gembira.
Baca juga
Tempat belajar menunggang kuda, ini antara senarai yang boleh dikunjungi
Atlet sukan berkuda perlu ada minat, kemahiran penunggang perlu selari dengan prestasi kuda
Sebagai pelajar sekolah, Khaleef Ali mengakui bahawa masanya agak terhad untuk menjalani latihan.
[caption id="attachment_36672" width="600"] Khaleef Ali bersama jurulatihnya, Aqil Arafat.[/caption]
"Memandangkan sekarang cuti sekolah, dapatlah saya berlatih tiga atau empat hari seminggu.
"Tetapi, bila sekolah dibuka nanti, saya perlu memberi tumpuan kepada pelajaran dan akan berlatih bermain kuda apabila ada masa terluang.
"Bagaimanapun, tumpuan akan terus diberikan pada sukan berkuda ini kerana saya mahu menjadikan ia satu kerjaya dan kebanggaan keluarga kelak,” jelas anak kepada pasangan Norzamani dan Mazni Mustapa ini lagi.
Sementara itu, Norzamani memberitahu, Khaleef Ali seorang anak yang bijak dalam akademik dan juga aktif sukan berkuda.
"Masa kecil-kecil dulu, dia dan adik-adiknya sering dibawa melihat saya menjalani latihan.
"Tapi tak sangka pula Khaleef Ali ‘jatuh cinta’ dengan sukan ini sehingga saya ambil keputusan untuk hantar dia ke A.S.Q Equestrian bagi mendapat bimbingan insentif daripada jurulatih berkemahiran.
"Alhamdulilah, sekarang ini Khaleef Ali sudah kuasai beberapa kemahiran dan ini adalah pencapaian yang sangat membanggakan kami sekeluarga,” ujarnya.
Apabila ditanya mengenai sukan berkuda yang dianggap hanya untuk golongan elit, Norzamani segera menyangkalnya.
"Semua peringkat dan golongan masyarakat boleh bermain sukan ini asalkan anda bijak mencari kelab yang menawarkan pakej latihan dengan harga berpatutan.
"Lagipun, ramai yang saya lihat terutamanya masyarakat di kampung yang memelihara kuda. Jadi, alang-alang sudah ada kuda, bolehlah diajar kepada anak-anak untuk menjadikan mereka atlet berkuda bila meningkat dewasa nanti,” kata Norzamani.
Kuat semangat, cergas dan aktif
"Khaleef Ali merupakan pelajar yang sangat kuat semangatnya ketika menjalani latihan berkuda.
"Ini kerana dia pernah terjatuh dari kuda, tetapi dia tetap bangun dan meneruskan latihan.
"Dia juga cergas dan sangat aktif serta patuh pada arahan jurulatih. Saya yakin, Khaleef Ali punya masa depan yang cerah dalam sukan ini,” ujar Aqil Arafat yang berjanji akan mendidik Khaleef Ali menjadi atlet sukan berkuda bagi kategori endurance hingga ke peringkat antarabangsa.
[caption id="attachment_36673" width="600"] Aqil Arafat[/caption]
Aqil Arafat juga akan berusaha membawa Khaleef Ali menyertai pertandingan FEI Endurance Wold YJ & European Championship akan datang dengan syarat, pelajarnya itu tidak mudah patah semangat dan sentiasa memberikan komitmen untuk berlatih tanpa jemu.
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok
INFO
Tujuh kelebihan sukan berkuda
1) Aktiviti menunggang kuda mampu merangsang dan menguatkan otot, terutama di bahagian paling dalam seperti otot pelvik dan tulang belakang.
2) Menunggang kuda dapat mempertingkatkan kecekapan otak kiri bagi menjadikan seseorang itu lebih peka dan tangkas dengan persekitaran. Menurut penyelidik otak seperti Dr Roger Sperry dan Dr Robert Orstein, otak kiri berfungsi dalam mengingati ilmu, data dan fakta, menggunakan fikiran logik, menganalisa, berfikir mengikut urutan dan sebagainya.
3) Kelebihan berkuda meliputi seluruh tubuh badan dari kepala hingga ke kaki, termasuk fizikal dan mental.
4) Membantu mencerahkan penglihatan mata kerana terdapat rangsangan terhadap saraf kranium (tengkorak) semasa gerakan galloping kuda.
5) Menunggang kuda baik untuk merawat sistem penghadaman, sistem saraf dan organ perkumuhan.
6) Kanak-kanak yang mengalami masalah fizikal, misalnya lumpuh, berkuda adalah cara mereka menikmati kebebasan dan melatih otot kaki sehingga boleh berjalan.
7) Membantu individu yang memiliki masalah mental dan emosi, membina konsentrasi, sabar, berdisiplin tinggi, membentuk kerjasama dan ikatan emosi antara kuda dan penunggangnya di samping membantu mengatasi rasa ketakutan (terapi emosi).