Apabila sekolah dibuka, ibu bapa merupakan individu yang paling sibuk dalam menguruskan semua perkara.
Ini kerana, pelbagai hal perlu diselesaikan sehingga ada kalangan mak ayah perlu mengambil cuti khas untuk hal tersebut.
Pemilihan dan amalan pengambilan makanan sihat untuk anak masing-masing juga adalah antara yang perlu diberi perhatian oleh setiap ibu bapa.
Sehubungan itu, Sinar Bestari kongsikan sedikit panduan untuk membantu mak ayah memilih makanan sihat supaya anak-anak dapat belajar dengan baik pada hari tersebut.
Ini tipnya.
1) Gunakan maklumat yang positif
Beritahu anak-anak bahawa semua makanan boleh memenuhi keperluan pemakanan yang sihat. Tidak ada makanan yang baik atau tidak baik. Kunci utama pemakanan sihat ialah pilihan dan pengambilan makanan secara sederhana. Ajar mereka mengenai pemakanan yang baik dengan cara yang mudah seperti yogurt dan susu boleh membantu perkembangan tulang yang kuat atau lobak merah membantu anda melihat dalam keadaan yang gelap.
Baca juga
Cikgu Muhamad Hakimin kekal tenang walau banyak cabaran semasa pandemik Covid-19
9 cara penggunaan kit ujian pengesanan Covid-19
2) Tumpukan kepada pemilihan makanan yang kaya dengan nutrient
Sentiasa galakkan anak memilih makanan yang kaya dengan nutrien di kantin sekolah. Ajar mereka untuk sentiasa memilih makanan seperti buah-buahan pelbagai warna, sayur-sayuran, minuman bersusu berbanding minuman cordial, hidangan yang kurang berminyak dan bergula serta lain-lain lagi.
3) Jadi contoh yang baik
Kanak-kanak mudah dipengaruhi oleh keadaan sekeliling dan orang yang rapat dengan mereka. Sebagai ibu bapa, pemilihan makanan yang anda buat akan mempengaruhi anak-anak. Jika anda memilih makanan yang sihat, anak-anak juga akan mencontohi anda.
4) Masak bersama
Kanak-kanak lebih teruja dan berminat untuk mengambil makanan sihat apabila mereka diberi peluang untuk menyediakan makanan. Libatkan mereka semasa menyediakan hidangan. Benarkan mereka menambah apa yang mereka gemar dalam makanan mengikut kreativiti masing-masing.
5) Membeli makanan bersama
Libatkan anak-anak semasa membeli belah atau ajak mereka sama-sama menanam sayur atau buah di kebun, sekiranya ada. Pilih makanan yang kaya dengan nutrien. Bantu anak memilih satu atau dua bungkusan makanan snek kegemaran mereka yang kaya dengan nutrien untuk dibawa ke sekolah.
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok
6) Pastikan makanan berkhasiat mudah diperoleh
Sediakan bekalan makanan berkhasiat di rumah. Ini termasuklah pelbagai buah-buahan seperti pisang, jambu batu, epal dan oren serta sayur-sayuran yang boleh dimakan mentah seperti salad, timun dan tomato.