Cikgu Muhamad Hakimin kekal tenang walau banyak cabaran semasa pandemik Covid-19
Cikgu Muhamad Hakimin kekal tenang walau banyak cabaran semasa pandemik Covid-19

Cikgu Muhamad Hakimin kekal tenang walau banyak cabaran semasa pandemik Covid-19

Roshlawaty Md Raieh
21 Mar 2022 02:26pm
A
A
A

Hari ini, bermulalah sesi persekolahan baharu bagi Penggal 1 2022/2023.

Setiap pelajar akan hadir secara bersemuka, penggiliran dan mengikuti proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berdasarkan kategori yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Menurut Cikgu Muhamad Hakimin Che Idris, 32, yang kini mengajar di Maple Leaf Kingsley International School, Subang Jaya, Selangor, pembukaan sesi persekolahan kali ini tetap sama dan beroperasi seperti sebelumnya.

“Memandangkan pandemik Covid-19 masih berlarutan, pihak sekolah tetap melakukan persediaan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Antaranya adalah semua guru dan pelajar diwajibkan melakukan ujian pengesanan sebelum hadir ke sekolah dan ia perlu dibuat dua kali seminggu.

“Seterusnya, pelajar diwajibkan memakai penutup mulut dan hidung serta pelindung muka. Guru-guru pula diberikan kayu pengukur yang perlu dibawa ke mana-mana ketika berada dalam sekolah dan ia bertujuan memastikan penjarakan sosial antara satu sama lain,” katanya dengan menambah pihak sekolah melaksanakan pembelajaran secara fizikal dan dalam talian serentak. Pelajar boleh memilih antara satu mengikut keselesaan masing-masing.

Cikgu Muhamad Hakimin

Sebagai guru di sebuah sekolah swasta, Cikgu Muhamad Hakimin yang mengajar subjek Pendidikan Jasmani berkata, terdapat beberapa perbezaan antara sekolah swasta dan bukan swasta.

“Bagi sekolah swasta, pihak pentadbiran telah menetapkan satu kelas sekitar 15 hingga 18 orang pelajar sahaja.

“Di sekolah ini juga, penggunaan tablet ketika sesi pembelajaran dibenarkan malah aktiviti kurikulum dan kokurikulum berjalan seiring bagi menghasilkan pelajar yang berkualiti tinggi, berkemahiran dan berpengetahuan,” tutur anak ketiga daripada empat adik beradik ini lagi.

Baca juga 

9 cara penggunaan kit ujian pengesanan Covid-19

Pelajar IPT teruja kembali ke kampus, teruskan pembelajaran secara hibrid dan patuhi SOP

Cabaran sebagai guru

Graduan Ijazah Sarjana Pendidikan Pengurusan Sukan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini memberitahu, dia menceburi bidang pendidikan disebabkan minat yang mendalam terhadap kerjaya sebagai guru.

“Bagi saya, minat mendalam adalah pati paling penting dalam menjadi seorang guru. Ini kerana bidang kerjaya berkenaan bukan sahaja hanya mengajar atau mendidik anak bangsa, tetapi ia lebih daripada itu.

“Secara jujurnya, saya merasakan kerjaya ini membuatkan saya dekat dengan keluarga, masyarakat dan individu lain secara amnya. Kerjaya ini membuatkan saya dapat menyelami dan mempelajari erti kehidupan manusia secara hakiki,” ujarnya.

Berkongsi mengenai cabaran sebagai guru muda, Cikgu Muhamad Hakimin menjelaskan, mengajar ketika pandemik Covid-19 pastinya mencabar fizikal dan mental.

“Saya mengajar pelajar sekolah menengah. Mereka diberi pilihan sama ada meneruskan sesi pembelajaran dalam talian atau bersemuka.

“Bagi guru pula, kami tiada pilihan dan pada masa yang sama ini adalah cabaran yang cukup hebat.

“Selain itu, menyeimbangkan keperluan perkembangan minda pelajar dan melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berilmu pengetahuan dan berdaya saing juga antara cabaran yang perlu pendidik sekolah ini pikul bagi merealisasikan segala impian tersebut,” kata anak kelahiran Kedah ini.

Cikgu Muhamad Hakimin bersama pelajarnya selepas tamat pembelajaran Pendidikan Jasmani.

Tambah beliau, hubungan dia dengan pelajar sangat rapat dan tiada sebarang formula yang digunakan dalam mewujudkan kemesraan yang telah lahir secara semula jadi itu.

“Cuma saya sering menjadikan diri sebagai rakan mereka agar pelajar berasa selesa ketika sesi pembelajaran. Saya juga turut serta ketika melakukan aktiviti semasa sesi pembelajaran.

“Saya juga tidak ketinggalan menggunakan media sosial sebagai bahan penyampaian ketika sesi pengajaran. Ini adalah salah satu cara untuk menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran yang diajar,” ujarnya.

Akhir sekali, Cikgu Muhamad Hakimin sempat menitipkan harapan yang tinggi untuk anak-anak didiknya.

“Setiap guru pasti mahu melihat semua pelajarnya cemerlang dalam pelajaran.

“Kerana itu, saya harap semua pelajar Maple Leaf Kingsley International School dapat belajar dengan bersungguh-sungguh dan tanpa jemu. Paling penting, segera berjumpa dengan guru, jika ada subjek yang kurang jelas dan sukar difahami. Insya-ALLAH, segala usaha yang anda lakukan ini, pasti menemui kejayaan kelak, percayalah,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Cikgu Muhamad Hakimin (kanan) ketika mewakili UiTM FC Liga Perdana Malaysia satu ketika dahulu.

PROFIL

Nama: Muhamad Hakimin Che Idris

Umur: 32 tahun

Tahap Pendidikan: SK Khir Johari, Kedah; SMK Khir Johari, Kedah; Sekolah Menengah Teknik Seberang Perai; Diploma Matematik, Universiti Teknologi MARA, Perlis; Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor dan Ijazah Sarjana Pendidikan Pengurusan Sukan, UKM.

Anugerah:

Mewakili Universiti Malaysia ke Kejohanan Bola Sepak IMT-GT

Mewakili universiti sukan bola sepak institusi pengajian tinggi

Mewakili universiti ke Kejohanan Sukan Bola Sepak Majlis Sukan Universiti Malaysia

Mewakili Universiti ke Kejohanan Bola Sepak Piala Mas Raja-Raja

Mewakili UiTM FC Liga Perdana Malaysia.

Hobi: Bermain bola sepak, aktiviti lasak, menunggang kuda dan riadah bersama keluarga

Program kegemaran: Program memasak

Kemahiran lain: Seorang jurulatih bola sepak di sebuah akademi bola sepak dan memiliki lesen jurulatih bola sepak AFC ‘C’

Idola: David Beckham

Prinsip hidup: 'You have to love what you do'

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok