MPP UiTM, MPPK desak tindakan dikenakan ke atas pensyarah hina B40

Iklan
WhatsApp Image 2022-03-30 at 1.16.48 PM

SHAH ALAM - Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) mendesak tindakan sewajarnya dikenakan ke atas pensyarah yang menghina golongan B40.

Iklan
Iklan

Yang Dipertua MPP UiTM, Rasydan Mohd Hassan berkata, pihaknya menggesa pengurusan tertinggi universiti untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan yang wajar dan selayaknya kerana pensyarah tersebut telah merosakkan imej universiti.

Iklan

"Pensyarah tersebut perlulah memahami keadaan negara yang sedang berdepan dengan situasi pandemik Covid-19 sekali gus menyebabkan hampir semua rakyat di Malaysia berada dalam keadaan ekonomi tidak stabil.

Iklan

"Manifestasi yang sering disuarakan oleh pihak pengurusan universiti bahawa mahasiswa adalah tonggak universiti perlulah dizahirkan dengan mengambil tindakan tegas kepada pensyarah tersebut dan juga mana-mana individu yang membuat tindakan sama selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Baca juga

"Tiada lagi gelaran budak AD”, FSSR UiTM kini dikenali sebagai KPSK

41 MPP UUM terima watikah pelantikan, nekad jalankan amanah dan tanggungjawab sebaik mungkin

Mengulas lanjut, Rasydan berkata, tindakan yang dilakukan oleh pensyarah itu adalah luar norma dan tidak beretika terhadap seorang mahasiswa.

"Sejarah UITM ini juga dibina atas dasar untuk membantu lebih ramai mahasiswa Melayu dan Bumiputera dalam mendapatkan pendidikan di peringkat tertinggi.

"Kenyataan menghina dan memperlekeh golongan B40 adalah tidak wajar dibuat oleh mana-mana pihak,” jelasnya.

Dalam pada itu, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) turut mendesak UiTM untuk mengambil tindakan yang proaktif dan rasional bagi memastikan isu tersebut diselesaikan dengan baik dan tidak berulang lagi di masa depan.

Presiden MPPK, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, hal ini bagi memastikan imej UiTM sebagai sebuah universiti yang sentiasa berusaha untuk mengubah nasib golongan B40 akan terus terjaga dan selari dengan matlamat penubuhan universiti.

Terdahulu, satu video klip berdurasi 1 minit 45 saaat tular di laman Twitter menunjukkan pensyarah wanita memarahi salah seorang pelajar kerana didapati tidak mempunyai kelengkapan komputer yang diperlukan untuk tujuan kelas secara dalam talian.

Dalam video tersebut juga, kata-kata yang dikeluarkan oleh pensyarah terbabit dilihat secara tidak langsung merendah-rendahkan golongan B40.

Setakat ini, video yang tular itu sudah dipadam setelah meraih lebih 25,000 ciapan semula dan kebanyakan warga maya mengecam tindakan yang dibuat pensyarah tersebut.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Rata-rata pengguna laman media sosial juga mendesak agar pihak tertinggi universiti supaya menjalankan siasatan dan mengambil tindakan agar perkara sebegini tidak berulang lagi.

Sinar Bestari berharap ada penyelesaian terbaik dapat diambil berkaitan hal ini supaya proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat berjalan lancar tanpa prejudis kepada mana-mana pihak.