Resume adalah satu kewajipan kepada setiap individu yang ingin mencari pekerjaan. Ia merupakan penerangan ringkas tentang tahap pendidikan, pengalaman kerja, kemahiran dan pencapaian seseorang individu.
Kebiasaannya, masalah timbul ketika menghasilkan resume apabila terlalu banyak maklumat yang ingin diletakkan untuk menonjolkan diri dan dalam masa yang sama tidak mahu ia menjadi terlalu panjang.
Kita sedia maklum bahawa kebanyakan majikan lebih cenderung untuk memilih calon yang mempunyai resume yang ringkas dan padat.
Dalam setiap resume yang dihasilkan, selain tahap pendidikan dan pengalaman, majikan juga akan meneliti kemahiran calon yang merupakan aspek penting dalam mengisi sesuatu jawatan.
Apabila ingin memilih kemahiran untuk diletakkan dalam resume, harus diingatkan supaya mengikut kesesuaian jawatan yang dipohon.
Persoalannya, bagaimana calon ingin mengenal pasti kemahiran yang sesuai diletakkan dalam resume?
Terdapat banyak kemahiran yang boleh dipilih untuk diletakkan dalam resume, tetapi ia semuanya bergantung kepada diri anda bagi menentukan kemahiran apa yang sesuai untuk sesuatu jawatan itu.
Terdapat dua jenis kemahiran yang sering diletakkan dalam resume: Hard Skill dan Soft Skill
Hard Skill ialah kemahiran yang membolehkan anda menggalas tugas dan tanggungjawab secara khusus dalam pekerjaan.
Hard Skil boleh dipelajari melalui kursus, latihan vokasional dan semasa bekerja. Kemahiran ini biasanya tertumpu kepada tugas dan proses tertentu seperti penggunaan alatan, peralatan atau perisian.
Soft Skill pula adalah kemahiran subjektif yang jauh lebih sukar untuk diukur. Ia juga dikenali sebagai kemahiran interpersonal. Tahap penguasaan kemahiran ini akan dinilai melalui cara anda berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain.
Jadi, berikut merupakan antara Hard Skill dan Soft Skill yang sesuai untuk diletakkan dalam resume anda:
Hard Skill
- Pengetahuan perisian dan aplikasi komputer (Microsoft Office)
- Reka bentuk (Design)
- Analisis data
- Penulisan
- Bahasa asing
Soft Skill
- Penyelesaian masalah
- Pemikiran kritis
- Fleksibel
- Kerja berpasukan
- Kreativiti
- Teliti
- Bertanggungjawab
Hard skill dan Soft Skill merupakan perkara utama yang menentukan sama ada anda layak diterima untuk mengisi jawatan yang kosong atau tidak. Setelah menyenaraikan semua kemahiran yang anda miliki, pilih kemahiran yang bersesuaian sahaja.
Sinar Bestari berharap artikel kali ini memberi informasi yang berguna kepada pelajar ataupun sesiapa sahaja yang sedang menghasilkan resume bagi tujuan permohonan pekerjaan. Selamat maju jaya!
Artikel berkaitan
Risau untuk temu duga kerja? Lepasan pengajian baharu boleh ikuti langkah mudah ini
Pelajar menipu dalam resume ketika memohon kerja, ini 5 padah yang menanti