Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB), Universiti Pendidikan Sultan Idris ((UPSI) mengorak langkah dengan memberikan Keahlian Kehormat Perpustakaan kepada ketua-ketua jabatan dalam daerah Muallim, Perak, baru-baru ini.
Pemberian tersebut bertujuan menjalinkan hubungan strategik dan kerjasama dua hala untuk faedah kedua-dua belah pihak.
Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, program yang julung-julung kali diperkenalkan itu akan memberi manfaat kepada warga Muallim untuk menikmati kemudahan yang terdapat di PTB.
Sebagai permulaan, Md Amin berkata, keahlian kehormat dianugerahkan kepada lapan pemimpin masyarakat.
Mereka terdiri daripada Orang Besar Jajahan (OBJ) daerah Muallim, YDH Toh Paduka Setia Datuk Ir Dr Safry Kamal Ahmad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz; Pegawai Daerah Muallim, Mohamad Fitri Hassan dan Yang Dipertua Majlis Daerah Muallim, Mohd Ikram Ahmad.
Seterusnya, Ketua Balai Bomba Tanjong Malim, Mohd Zairul Fahmi Mohd Nazari; Pengarah Hospital Slim River, Dr Sivanandarajah Satgunam; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Perancangan), Norazam Md Isa dan Pengurus Besar Proton Tanjong Malim Sdn Bhd, Shamsul Azmin Zaini juga menerima keahlian kehormat berkenaan.
Md Amin yang telah menyempurnakan majlis itu memberitahu, dengan pemberian kad keahlian kehormat tersebut, ia sekali gus akan meningkatkan minat dan keseronokan membuat kajian serta mampu menyuburkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat untuk menjadi insan berilmu pengetahuan.
"Menerusi langkah ini, saya yakin ia akan membuka peluang lebih meluas untuk masyarakat sekitar daerah Muallim menjadi ahli PTB,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pustakawan PTB, Noriha Muhammad mengalu-alukan pemimpin masyarakat dan ketua jabatan daerah Muallim yang lain supaya menjadi ahli perpustakaan.
"Pihak PTB berperanan penting khususnya dalam penyediaan perkhidmatan yang lebih efisien dan efektif ke arah mencapai objektif mewujudkan masyarakat yang berbudaya membaca dan berilmu, sesuai dengan dasar kerajaan dalam agenda pembangunan sosial,” katanya.
Noriha menjelaskan, langkah itu bertepatan dengan Amanat Naib Canselor 2022, yang ingin menjadikan Muallim sebagai Bandar Ilmu.
Sementara itu, lapan ahli kehormat yang diberi penghargaan boleh menggunakan segala kemudahan PTB di Kampus Sultan Abdul Jalil dan UPSI Digital Library di Kampus Sultan Azlan Shah seperti yang dinikmati oleh pensyarah dan pelajar-pelajar UPSI yang lain.
Dengan adanya PTB ini, diharapkan lebih ramai anggota masyarakat setempat mendaftar sebagai Keahlian Luar Perpustakaan dan menggunakan kemudahan perpustakaan dengan dikenakan sedikit yuran.
Artikel berkaitan
Kongsi asas penulisan rencana, PSAS anjur Bengkel Strategi Penulisan Rencana Untuk Akhbar
2,434 graduan MSU dirai, 5 anugerah khas kecemerlangan untuk pelajar yang layak
17 penyelidik gembleng tenaga kenal pasti simptom awal keciciran murid