d65831_5e533977dfa54421933c9888f295d13f_mv2
d65831_5e533977dfa54421933c9888f295d13f_mv2

Ceburi bidang pertanian sebagai alternatif pekerjaan, mahasiswa UPSI kini miliki kebun sawit sendiri

Adlan Farhan Azwan
15 Apr 2022 05:42pm
A
A
A

Persaingan dan kesukaran graduan pada masa kini untuk mendapatkan pekerjaan memaksa mereka mencari alternatif sementara menunggu peluang pekerjaan yang lebih baik.

Bagi anak jati Kampung Salawan Tumalasak Pensiangan, Rudey Asok, 25, pertanian menjadi bidang pilihan untuk diceburi selepas menamatkan pengajian.

Menurutnya, dia sendiri tidak menjangka akan berpeluang untuk mendapatkan pekerjaan setelah tamat pengajian suatu hari nanti.

“Dengan adanya kebun kelapa sawit ini maka saya tidak perlu bimbang walaupun lambat dapat peluang pekerjaan.

“Perjalanan seribu langkah bermula dengan satu langkah. Bagi saya bidang pertanian juga menjanjikan pulangan lumayan sekiranya diusahakan dengan baik.

“Saya berharap usaha saya ini dipermudahkan demi menggapai cita-cita yang sudah terbuku di hati,” katanya kepada Nabalu News, baru-baru ini.

Meskipun masih bergelar mahasiswa, namun apa yang membanggakan setiap kali cuti semester Rudey rajin mengusahakan kebunnya.

Rudey akan mengerjakan kebun sawitnya pada cuti semester.

Kini, Rudey mempunyai kebun kelapa sawit sendiri iaitu ‘Kebun Sawit Rudey Asok’ di Kampung Tonomon Sepulut Pensiangan, Nabawan.

Kebun sawit seluas 14 ekar itu mula diusahakan pada 2021 dan dijangka akan mengeluarkan hasil selepas tiga hingga empat tahun ditanam.

Rudey yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Malaysia dengan Pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak akan menamatkan pengajian pada 2023.

Pada 2021, dia mengambil peluang mengikuti program pertukaran pelajar ke Universiti Yogyakarta, Indonesia.

Bukan itu sahaja, Rudey juga pernah memegang tampuk kepimpinan sebagai Wakil Kerusi Etnik Sabah dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di UPSI.

Mengikuti perkembangan anak muda ini dalam perjuangannya, pelbagai pengalaman pahit dan manis telah dilaluinya, tetapi tidak pernah menjadi satu asbab buatnya untuk berputus asa.

Anak kelima daripada tujuh orang adik beradik ini juga dikenali dengan sifatnya yang sentiasa mempersiapkan dirinya demi masa depan yang masih jauh dan belum terlihat di hadapan.

Rudey berkata, memandangkan dirinya hanya berpeluang balik kampung ketika cuti semester saja, justeru dia meminta bantuan daripada ibu bapa, adik beradik dan saudara-mara untuk mengusahakan tanaman sawitnya.

“Saya upah mereka untuk bekerja di kebun saya secara pajak. Saya menggunakan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dicarum sewaktu saya kerja sebagai pembersih, tukang kopi di restoran dan renjer hutan.

“Saya berharap agar anak-anak muda terutama sahabat graduan sentiasa berusaha walau apapun cabaran dan halangan. Ingat cabaran dan halangan itu penting untuk dihadapi kerana ia akan mematangkan fikiran kita,” jelasnya.

Sumber: Nabalu News

Artikel berkaitan

INNO4C USM bantu penternak B40 di Sarawak tingkatkan pasaran madu kelulut

'Sir Ladang’ beri inspirasi kepada golongan muda, kongsi rutin jadi penternak di TikTok

Panduan lengkap mahasiswa ceburi bisnes e-dagang, jana pendapatan melalui bakat keusahawanan digital 


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok