Untitled design
Untitled design

2,434 graduan MSU dirai, 5 anugerah khas kecemerlangan untuk pelajar yang layak

Roshlawaty Md Raieh
22 May 2022 04:52pm
A
A
A

SHAH ALAM – Seramai 2,434 graduan daripada 115 program pengajian diraikan pada Majlis Konvokesyen Management and Science University (MSU) ke-29 yang berlangsung semalam sehingga 23 Mei ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 21 graduan menerima ijazah peringkat Doktor Falsafah, 38 ijazah Sarjana, 1,211 ijazah Sarjana Muda dan 1,164 lagi Diploma.

Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Pengajian Profesional menyumbang bilangan graduan terbesar iaitu 791 graduan.

Manakala Fakulti Sains Maklumat dan Kejuruteraan adalah fakulti yang menawarkan bilangan program pengajian terbanyak iaitu 28 program pengajian.

Berlangsung di Dewan Canselor MSU, majlis konvokesyen berkenaan adalah yang pertama diadakan semenjak peralihan negara memasuki fasa endemik termasuk pembukaan penuh institusi pengajian tinggi (IPT) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan turut dihadiri Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid serta pengurusan kanan universiti.

Sementara itu, lima kategori anugerah khas kecemerlangan turut diberikan kepada 52 graduan bagi mengiktiraf pencapaian keseluruhan mereka sepanjang tempoh pengajian dalam bidang masing-masing.

Graduan bagi sesi pertama yang menerima skrol masing-masing pada Majlis Konvokesyen MSU ke-29, semalam.

Mereka adalah penerima Anugerah Pingat Emas Canselor, Nur Aqila Syafiqa Salehhuddin yang merupakan graduan Sarjana Muda dalam Sains Perubatan manakala Anugerah Presiden diberikan kepada Aleaa NurInsyirah Alias (Sarjana Pendidikan - Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua), Lim Chong Wen (Sarjana Muda dalam Perniagaan Antarabangsa) dan Amirah Tahirah Azman (Diploma dalam Pengurusan Acara).

Sementara itu, UzundemirAyse Gul yang merupakan graduan Sarjana Muda dalam Perniagaan Antarabangsa dan Dhaasuen Kaur Gopal Singh (Sarjana Muda Sains Bioperubatan) dianugerahkan dengan Anugerah Mohd Shukri Yajid, manakala 26 graduan menerima Anugerah Akademik dan 20 graduan lagi Anugerah Industri.

Kesemuanya menerima hadiah sumbangan Yayasan MSU berupa plak, wang tunai dan biasiswa bagi menyambung pengajian di MSU.

Baca juga 

Teknologi pelengkap guru kalis masa hadapan

Program pertukaran beri peluang Cikgu Nasir timba pengalaman di Korea Selatan

MSU merupakan antara universiti terbaik di Malaysia dan dunia yang memfokuskan kepada program pengajian berkualiti untuk melahirkan graduan kompeten dan holistik serta dilengkapi kemahiran insaniah dan ilmu teknikal, selain membina jaringan kepintaran sosial yang lebih luas.

Selari dengan matlamat untuk melahirkan graduan yang seimbang, holistik dan serba boleh sejajar dengan moto universiti, Transforming Lives, Enriching Future, MSU turut mengaplikasikan program pengajian berasaskan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) merentasi semua peringkat pengajian yang ditawarkan.

Selain itu usaha MSU dalam membudayakan dan menyokong pembelajaran sepenjang hayat dalam kalangan orang ramai turut mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) apabila disenaraikan sebagai pusat Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) serta menjayakan program Rintis ‘Stand-Alone Micro Credentials (SAMC)’ khusus untuk kursus-kursus jangka pendek selaras keperluan industri.

Pengiktirafan yang diperoleh MSU ini merupakan penanda aras kepada keberkesanan inisiatif universiti dalam melaksanakan enam indikator utama merentasi aspek pembelajaran dan pengajaran iaitu industri dan kebolehpasaran, keusahawanan, pengantarabangsaan, penyelidikan, program lestari dan komuniti serta pendidikan fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ulangkaji seperti biasa

Dalam pada itu Nur Aqila yang menerima Anugerah Pingat Emas Canselor berkata, dia sangat gembira dan sangat terkejut apabila dipilih untuk menerima anugerah tertinggi tersebut.

Pengiktirafan yang cukup besar tersebut akan dijadikan pembakar semangat untuk Nur Aqila menyambung pengajian peringkat PhD tidak lama lagi.

Nur Aqila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Canselor pada hari penuh bersejarah, semalam.

Berkata kepada Sinar Bestari, anak kelahiran Johor ini memberitahu, rahsia kejayaannya itu tetap sama seperti pelajar yang lain.

“Saya mengulangkaji seperti biasa dan sentiasa bertanya dengan pensyarah jika ada masalah dalam pembelajaran. Kemudian, saya akan pastikan yang setiap subjek wajib ada nota poket untuk mengingat segala fakta dan formula.

“Memang agak sukar dan kadang kala berdepan dengan kepenatan…tetapi saya tanam dalam diri yang kejayaan tidak akan datang jika tiada usaha keras,” ujarnya yang bercita-cita mahu menjadi seorang pendidik.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok