Baru-baru ini, Sinar Bestari berkongsi mengenai kecekalan dan kekentalan guru-guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, Gua Musang, Kelantan, dalam perjalanan ke sekolah.
Tanpa menghirau bahaya di sekeliling, sekumpulan guru pedalaman ini tetap meneruskan perjalanan yang penuh liku demi menyampaikan ilmu pada murid tercinta.
Begitulah halnya dengan salah seorang guru dari SK Lenjang, Kuala Lipis, Pahang.
Dikenali sebagai Cikgu Ameer Firdaus, pengalaman pada 2018 itu cukup mengundang sebak dalam kalangan pembaca.
Sebenarnya, apakah kisah yang telah meruntun hati setiap pembaca itu? Adakah Cikgu Ameer telah berdepan dengan cabaran luar biasa sepanjang ke SK Lenjang sama seperti guru SK Balar?
Menerusi blog Cikgu Emmet, Sinar Bestari sertakan cerita yang sangat bermakna bagi guru ini untuk tatapan dan bacaan warga maya.
Jom ikuti kisah tersebut.
*****
Satu hari, saya telah berjanji dengan anak-anak murid yang saya akan hantar mereka pulang ke rumah.
Jadi, saya mengajak pengawal keselamatan sekolah untuk teman pada hari tersebut.
Perjalanan menghantar anak-anak murid ke rumah mereka yang majoritinya tinggal di sekitar Kampung Orang Asli Tungau, Pahang mengambil masa 1 jam setengah pergi dan balik.
Menurut cerita, setiap hari sekitar pukul 5.30 pagi, anak-anak murid akan bangun dan mula bersiap untuk ke sekolah.
Di rumah (sebelum ke sekolah) ibu masing-masing akan memasukkan baju sekolah ke dalam beg masing-masing. Kemudian, si ibu akan bekalkan lampu suluh untuk mereka guna sepanjang perjalanan ke sekolah.
Tepat jam 6 pagi, murid-murid akan berkumpul di suatu tempat dan mula berjalan kaki dengan menyusuri semak, bukit dan titian buluh untuk ke sekolah.
Setelah 45 minit berjalan kaki dalam hutan dan hampir tiba ke sekolah, murid-murid ini mula mencari tempat lapang untuk menyarungkan baju sekolah yang dibawa.
Mungkin ada yang pelik, kenapa mereka tidak memakai baju sekolah dari rumah.
Bila saya tanya mereka, rata-ratanya memberitahu yang ibu bapa berpesan supaya memakai baju sekolah apabila tiba di sana. Ini kerana, sepanjang perjalanan dalam hutan, embun pagi, tanah yang lembab, selut tebal dan lain-lain akan membuatkan baju kotor.
Jadi, jika baju tak bersih, cikgu di sekolah pula akan marah. Begitulah kata anak-anak murid saya.
Selepas selesai menyarung baju sekolah, kumpulan murid ini akan menuju ke kantin untuk menikmati sarapan Rancangan Makanan Tambahan (RMT). Kemudian, pada pukul 7.25 pagi, semuanya bersiap-siap untuk perhimpunan sekolah.
Sama juga dengan waktu pulang dari sekolah. Murid-murid akan menanggalkan pakaian dan meletakkan ke dalam beg. Mereka berjalan pulang bersama-sama dan kelihatan sangat gembira dan seronok.
Sekolah ini memang menyediakan asrama sekolah, tetapi ia tidak dapat menampung semua murid.
Asrama hanya menghadkan jumlah murid lebih kurang 200 orang sahaja. Itupun dibuka bagi yang tinggal di kawasan yang terlalu jauh sahaja.
Dalam keadaan yang begini, maka tidak hairanlah murid-murid boleh menjadi malas untuk ke sekolah, lewat datang dan lewat makan RMT ataupun baju sekolah sangat kotor.
Dan aku? Setelah beberapa tahun mengajar di sini, selalu bertanya dan marah murid-murid dengan soalan-soalan seperti…
"Kenapa baju kotor sangat ni?”
"Awak ni kenapa lambat sangat datang, dah la baju kotor!”
"Dah kenapa awak selalu lewat makan pagi, lewat beratur”
Kenapa tu…kenapa ni…dan macam-macam soalan lagi yang ditanya.
Saya marah sebab saya menganggap mereka ini tidak faham tentang kebersihan, bagaimana menepati masa untuk datang awal ke sekolah atau pun kepentingan belajar.
Tapi dalam situasi murid-murid ini, siapa sebenarnya yang tidak faham?
Rasa kejam dan bersalah benar-benar memberi kesedaran pada saya.
Yang memberikan tamparan lebih hebat pada saya, apabila dalam keadaan murid-murid yang begitu mereka tetap datang ke sekolah.
Ada beberapa murid pula, kalau tidak sakit, akan selalu datang. Datang awal, belajar elok, suka tolong cikgu buat itu ini, dan saya tidak nampak penat di muka mereka.
Ya, mereka hidup dan gembira dengan apa adanya, tidak merungut, sedar diri dan ingin berusaha memperbaiki kehidupan.
Semua ini buat saya lebih sedar tentang kenapa saya ditempatkan di pedalaman ni. Walau perjalanan diri ini sangat susah untuk masuk ke sekolah iaitu terpaksa meredah sungai, jalan lereng bukit berselut dan sebagainya, apalah sangat hendak dibandingkan dengan kesusahan itu dengan keperitan hidup anak-anak murid yang lebih memerlukan cikgu-cikgu untuk berada disana.
Maafkan cikgu, cikgu sudah marah murid-murid semua tanpa memahami situasi awak sebenarnya.
Terima kasih jadi anak-anak murid yang sabar dan sayangkan cikgu.
Terima kasih kerana menghilangkan rasa penat cikgu dengan senyuman riang walaupun sebenarnya awak sangat penat. Comot-comot pun, cikgu tetap sayang.
Artikel berkaitan
Terperangkap dalam kesesakan, graduan USM tumpang motosikal untuk hadir ke majlis konvokesyen
Punya semangat yang luar biasa, Nor Shazlina sanggup sengkang mata demi dapatkan ijazah kedua