Dalam cabaran meningkatkan pencapaian pelajar yang akan menyumbang kepada peningkatan sistem pendidikan negara, kesamarataan peluang pendidikan turut menjadi antara halangan utama.
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 sudah menggariskan kepentingan ini dengan memastikan setiap kanak-kanak di negara ini berhak mendapat kesamarataan peluang pendidikan bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing.
Sehingga ke hari ini, masih ramai pelajar terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah yang terpaksa menggadaikan impian untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi kerana tidak mempunyai kemampuan dari segi kewangan dan akses sumber.
Sehubungan itu, Universiti Sains Malaysia (USM) buat kali keduanya telah melaksanakan Program empowerNCER-Akademik melalui pembiayaan penuh daripada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) kepada 1,000 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di 25 buah sekolah di lima daerah negeri Pulau Pinang.
Program ini dibina secara komprehensif untuk meningkatkan pencapaian pelajar dalam peperiksaan SPM dengan menekankan komponen kecemerlangan akademik, kecekapan kemahiran dan perkembangan peribadi pelajar.
Matlamat utama Program empowerNCER-Akademik adalah untuk mengurangkan kadar kemiskinan melalui pendidikan yang lebih baik supaya dapat mengubah hidup keluarga dan membangunkan sosio ekonomi bagi keluarga B40.
Menurut pelajar SPM 2021 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena, Pulau Pinang, Nadia Syazana Mohammed Yusuf, pandemik bukan alasan baginya dan rakan-rakan seperjuangan untuk tidak berusaha memperoleh keputusan yang cemerlang.
"Kejayaan meraih 7A hari ini adalah hasil dan usaha Program empowerNCER-Akademik yang banyak membantu kami mengulang kaji pelajaran dengan berkesan menggunakan tablet serta pelan data dan dibantu oleh tenaga pengajar dari USM melalui satu siri bimbingan intensif,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, pelajar SMK Bakti, Pulau Pinang, Gooi Qian Ya yang memperoleh 8A turut berkongsi pengalaman bersama tenaga pengajar USM menerusi program ini.
"Kelainan yang dibawa dalam program ini berfokus kepada pemulihan dan pengayaan serta pelbagai pedagogi unik yang telah menarik minat kami agar lebih bersemangat dan fokus.
"Kami amat seronok berinteraksi dengan kakak-kakak dan abang-abang USM yang sangat bijak dan pandai mengambil hati kami,” jelasnya
Dalam pada itu, menurut Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan, pelaksanaan program ini telah berjaya dalam usaha untuk meningkatkan kadar kelulusan peperiksaan SPM dan menambah bilangan pelajar dalam kalangan B40 ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
"NCIA berharap program ini diteruskan demi memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar daripada komuniti B40 dan Orang Asli dalam menyokong seruan kerajaan untuk membasmi kemiskinan Keluarga Malaysia pada tahun 2025,” jelasnya.
Program ini yang bermula pada Mac tahun lalu memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi peperiksaan dan dijangka berakhir pada Oktober ini dengan bimbingan hala tuju untuk ke institusi pengajian tinggi (IPT) berdasarkan kompetensi dan kecenderungan masing-masing.
Artikel berkaitan
Inspirasi ramai! Pelajar 10A+ SPM kongsi rahsia kejayaan untuk calon peperiksaan tahun ini
SPM bukan penamat atlet sekolah, mantan guru PJ kongsi hala tuju seterusnya
(VIDEO) Tidak putus asa! Banjir bukan alasan, pelajar tetap bersemangat hadapi SPM 2021