Sudah tiga kali guru Geografi ini menyertai pertandingan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) sebelum ini.
Dalam tempoh tersebut, mungkin rezeki tidak berpihak pada dirinya untuk mendapat tempat di hati juri.
Bagaimanapun, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman SEA, Petaling Jaya, Selangor tidak pernah berputus asa sebaliknya dia mencuba lagi tahun ini.
Siapa sangka, dengan semangat dan usaha gigihnya itu, guru yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah ini telah dinobatkan Johan Qariah Kebangsaan 2022 dalam MTHQK yang diadakan di Pusat Islam Iskandar, Johor, baru-baru ini.
Cikgu Sofizah Mousin, 33 berkata, kemenangan tersebut ternyata mengejutkan namun dia menganggap ia adalah rezeki yang cukup besar buat dirinya sekeluarga.
"Saya tidak dapat membuat persiapan rapi kerana kedua-dua anak perempuan yang berusia 14 bulan dan empat tahun sakit dua minggu sebelum majlis.
"Jadi, saya terpaksa memberi tumpuan yang lebih kepada mereka. Bagaimanapun, saya tetap mencuri sedikit masa untuk berlatih dan memperkemaskan bacaan sebelum bertanding.
"Alhamdullilah, pengorbanan ini berbaloi apabila saya muncul johan bahagian qariah,” katanya gembira.
Kongsi tip kejayaan
Isteri kepada Ahmad Asrol Saidi, 35, ini memberitahu, setiap hari dia akan membuat latihan suara ketika memandu kereta dalam perjalanan pergi dan pulang ke tempat kerja.
"Memang latihan saya nampak lain daripada orang lain, namun itulah cara yang saya lakukan.
"Suami dan keluarga pula sentiasa memberi sokongan dan kata-kata semangat sepanjang latihan, jadi merekalah sumber kekuatan untuk saya menyertai pertandingan tersebut,” katanya.
Selain membawa pulang gelaran Johan Qariah Kebangsaan 2022, Cikgu Sofizah juga berjaya memenangi hadiah wang tunai RM15,000, piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan serta tambahan wang tunai RM10,000 bagi menunaikan haji.
[caption id="attachment_40935" width="600"] Cikgu Sofizah (kanan) bersama Johan Qari, Aiman Ridhwan Mohamad (kiri) pada MTHQK di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar, baru-baru ini. - GAMBAR IHSAN BERNAMA[/caption]
Sementara itu, seluruh masyarakat kagum dengan usaha yang dilakukan apatah lagi dengan kesibukan sebagai guru, beliau telah membuktikan yang diri masih boleh melakar kejayaan.
Sinar Bestari memetik sedikit ucapan menerusi hantaran yang dimuat naik sebuah page komuniti di laman Facebook.
Mari kita lihat apa kata warganet mengenai kejayaan cikgu yang berkulit putih ini.
Sunan Daud: Tahniah cikgu. Teruskan usaha. Mudah-mudahan johan di peringkat antarabangsa pula. Insya-ALLAH.
Yuliamin Sahirursah: Tahniah cikgu. Moga dipermudahkanNya di peringkat antarabangsa nanti.
Maznah Zaini: Hebat cikgu, teruja dengan semangat yang ditunjukan. Semoga menjadi contoh pada kami untuk mengikut jejak langkah cikgu yang hebat.
Parihah Alias: Alhamdulillah dan tahniah. Teruskan usaha Cikgu Sofizah. Suara yang hebat anugerah ALLAH.
Jassnita Jamin: Tahniah cikgu. Semoga terus melakar kecemerlangan, saya tumpang gembira.
Nor Faizah Idris: Semangat luar biasa.
Norhayati Abdul Halim: Tahniah cikgu kerana membanggakan warga pendidik keseluruhannya.
Rafidah Mohamed Nor: Tahniah, semoga ALLAH memberikan rahmatnya atas kecemerlangan yang ditunjukkan.
Artikel berkaitan
"Usah dibuai dengan khayalan kekayaan”, guru kongsi realiti menjadi seorang ‘drop out’ universiti
Cara mudah buang password di PDF, sangat berguna untuk cikgu-cikgu tahu!
Guru dan ibu bapa, atasi isu murid bisu terpilih di sekolah